Persetujuan itu dibuat oleh pen­tadbiran AS ketika itu dengan kerajaan Arab Saudi , selaku negara pengeluar minyak terbesar di dunia.

Urusniaga minyak mentah mem­babitkan penggunaan mata wang AS ini kerap dirujuk kepada Petro dolar.

Penggunaan mata wang AS ini menjadi sangat dominan khusus­nya dalam memperkukuhkan nilai dolar AS kerana transaksi global terhadap minyak mentah bernilai beratus bilion setiap tahun.

Malah ada yang berpendapat, Iraq diserang oleh tentera bersekutu yang diketuai AS pada 1990 bukan kerana Presiden Saddam Hussein mempunyai senjata yang mampu melakukan kemusnahan besar-besaran.

Sebaliknya antara punca Iraq diserang kerana kesediaan Saddam untuk melakukan urus niaga minyak mentah di pasaran antarabangsa membabitkan penggunaan mata wang Euro.

AS didakwa melihat ini sebagai satu ‘ancaman’ terhadap urus niaga minyak global dan nilai dolar, sekaligus mencari alasan untuk bukan sahaja menjajah Iraq malah me­nguasai seluruh sumber minyak mentah di negara-negara teluk.

Begitu kuatnya pengaruh pe­trodolar dan AS sedia untuk berperang bagi melindungi kepen­tingannya dalam urus niaga yang bernilai berbilion-bilion dolar ini.

Bagaimanapun, dominasi AS dalam menentukan cara urus niaga minyak ini kini di cabar oleh China yang telah melancarkan petroyuan.

China telah melancarkan urus niaga kontrak hadapan minyak mentah menggunakan petroyuan pada 26 Mac lalu di Shanghai.

Ramai yang memerhati dengan rasa teruja untuk mengetahui sama ada harga minyak mentah yang di­dagangkan dalam kontrak hadapan di Shanghai ini boleh menjadi satu lagi penanda aras untuk rujukan harga komoditi tersebut.

Urus niaga minyak mentah China ini menerusi petroyuan, tentunya mempunyai implikasi besar terhadap petrodolar.

Ini kerana statistik mendapati China mengimport purata 7.6 juta tong minyak mentah sehari dan jika dinilai pada kadar AS$50 setong, ia adalah bersamaan dengan kira-kira AS$138 bilion setahun.

Hasrat China melancarkan petroyuan telah dibuat sejak 2015 dan ia telah melakukan siri cubaan beberapa kali dan akhirnya dilancarkan pada 26 Mac lalu.

China menggunakan kedudukannya sebagai pengimport mi­nyak yang terbesar di dunia ketika ini dengan ‘memaksa’ Arab Saudi menerima Yuan sebagai kaedah pembayaran.

‘Paksaan’ ini didakwa dilakukan dengan mengenakan beberapa tekanan perdagangan. Malah pada masa yang sama, sebagai satu kuasa ekonomi dunia, China juga dilaporkan turut akan menggunakan petroyuan dengan rakan komradnya, Rusia.

Iran yang dikatakan turut menerima mata wang Euro sebagai kaedah pembayaran urus niaga minyak, kini dilaporkan turut menerima Yuan sebagai kaedah pembayaran.

Bagi menjadikan urus niaga minyak dengan China ini lebih ‘manis’, negara tembok besar itu turut menyatakan kesediaan untuk menukar Yuan (hasil urus niaga minyak mentah) dengan logam berharga seperti emas atau lain-lain dengan Rusia, Iran dan Arab Saudi.

Rusia dan Iran, yang sedang berdepan dengan sekatan perdagangan antarabangsa, tentunya melihat tawaran yang dihidangkan oleh China terlalu baik untuk dilepaskan.

Malah ada yang berpendapat, apa yang sedang berlaku akan menye­marakkan lagi ‘api’ persengketaan perdagangan antara China dan AS.

China dan kerajaan AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump kini saling berbalah apabila kedua-dua pihak mula mengenakan tarif import terhadap produk masing-masing.

Kedua-dua negara saling tuduh menuduh dan akan me­rujuk kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mencari jalan penyelesaian.

Sebagai latar belakang, petro­dolar adalah satu ikatan yang disimpul melalui perjanjian yang dibuat oleh kerajaan AS dengan Kerajaan Arab Saudi pada 1974 yang mensyaratkan semua urus niaga minyak mentah hanya boleh dilakukan dalam denominasi mata wang AS sahaja.

Sebagai balasan kepada perjanjian itu, AS bersetuju untuk memberikan perlindungan dan apa juga kelengkapan serta bantuan ketenteraan kepada kerajaan Arab Saudi.

Perjanjian ini juga dikatakan sebagai kaedah AS memanipulasi pasaran minyak global untuk memperkukuhkan nilai dolar AS sepanjang masa dengan bantuan Arab Saudi.

Melalui ‘tangan-tangan ghaib’ AS turut mempengaruhi Arab Saudi untuk mewujudkan satu ‘kartel’ negara-negara utama pengeluar minyak.

Arab Saudi bersama-sama de­ngan 10 lagi negara pengeluar mi­nyak utama membentuk Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum atau dikenali sebagai OPEC.

OPEC berperanan untuk menstabilkan harga minyak mentah antarabangsa dengan mengawal jumlah pengeluaran bagi menstabilkan permintaan minyak global.

Kewujudan OPEC pada 1973 adalah ekoran krisis minyak antarabangsa apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak Arab membuat keputusan mengenakan sekatan eksport minyak mentah ke AS.

Keputusan itu dibuat akibat tindakan AS yang dilihat menyokong Israel yang menentang negara-negara Arab.

Sekatan eksport itu mengakibatkan harga minyak melambung tinggi dan menyedari kepenti­ngan bahan bakar itu, pentadbiran AS memainkan peranan menggunakan pengaruhnya me­wujudkan OPEC.

Malah peranan OPEC juga kini boleh dipersoalkan, mengikut te­lunjuk AS dan sekutunya di bawah apa juga organisasi perdagangan yang kononnya memperjuangkan kesaksamaan perdagangan global.