Daripada ketua kampung, jiran sebelah rumah sehinggalah kepada rakan-rakan di Facebook, anda tidak jemu-jemu meminta pandangan mereka bagaimana untuk mendapatkan pekerjaan.

Kerajinan anda memang amat dipuji, cuma anda perlu ingat satu perkara. Jawapan yang terbaik ialah jawapan yang diberikan oleh individu yang be­kerja di industri itu sendiri. Sama ada mereka pernah be­kerja atau sedang bekerja, kualiti jawapan mereka adalah bernas dan perlu diamati dengan teliti.

Begitu juga sekiranya anda ingin bekerja di dalam bidang pemasaran, anda perlu menge­tahui dengan tepat apakah kemahiran yang perlu ada sekira­nya anda berminat untuk bekerja dalam industri pemasaran.

Jawapan yang terbaik ialah jawapan yang datangnya dari individu yang pernah beker­ja atau yang masih berada di dalam industri pemasaran. Perhatikan senarai di bawah, ini nasihat saya untuk anda:

Pengalaman tidak penting

Bagi saya, pengalaman tidak penting kerana ia tidak bermakna anda akan mampu memberikan hasil yang terbaik. Ia tidak akan menjanjikan yang anda pasti akan menyediakan hasil yang dikehendaki oleh agensi. Namun ia berguna sebagai rujukan, sekiranya ada. Anda tahu apa yang perlu dilakukan apabila wujudnya situasi tertentu kerana anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Penulisan

Dalam industri pemasaran, anda akan sukar bekerja sekiranya tidak mampu menulis dengan baik. Ia secara automatik membuktikan yang anda mempunyai pemikiran yang berstruktur. Maksud saya, anda mampu ‘melihat’ sesuatu perkara itu secara berstruktur yang mempunyai permulaan, perte­ngahan dan pengakhiran, yang tersusun baik. Penulisan juga memberikan gambaran kepada agensi yang anda mempunyai pemikiran yang sistematik. Sekiranya anda tidak mahir menulis, tetapi mempunyai minat dan keinginan yang mendalam untuk menceburi industri pemasaran, anda perlu mula menulis. Ia mampu membentuk pemikiran anda agar lebih tersusun, tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk terhasil.

Penguasaan bahasa

Faktor ini sangat penting. Penulisan yang baik hanya akan diperoleh jika anda mampu menguasai bahasa dengan baik. Tidak kira sama ada bahasa Malaysia, bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa lain, ia penting kerana anda mampu menulis sesuatu yang berkua­liti untuk pelanggan jika diberikan tugasan. Penulisan artikel, status di media sosial, penghasilan ​copywriting yang pendek dan kreatif, dan interaksi dengan para pengikut di laman web dan media sosial amat memerlukan seseorang yang mahir dalam penguasaan bahasa. Bahasa ​WeChat​ tidak dikira.

Kreatif

Sekiranya anda ditunjukkan satu gambar atau video, anda mampu menulis satu ​caption atau status media sosial yang pendek dan menarik. Secara automatik, para pengikut di media sosial akan klik untuk melihat gambar atau video tadi sekiranya status yang ditulis itu akan menarik minat mereka untuk melihatnya dengan mendalam. Idea yang baik, tahu bagaimana untuk membuat kajian dan ​resourceful​. Kadang-kadang anda tidak perlu tahu pelbagai perkara yang teknikal tetapi perlu tahu bagaimana untuk mendapatkannya. Mempunyai idea yang berkualiti dan tahu di mana sesuatu benda boleh diperolehi juga penting.

Contohnya, anda tidak pernah tahu selok-belok tentang industri halal dunia, tetapi anda perlu menjaga media-media sosial pelanggan agensi anda yang datangnya daripada industri halal. Jadi anda perlu tahu apa yang boleh dilakukan bagi memastikan setiap penulisan yang ada dan status yang dimuat turun ke dalam rangkaian media sosial pelanggan tadi tidak kelihatan amatur.

Personaliti

Tolong ubah penampilan anda sekiranya anda masih selekeh. Anda perlu tahu bagaimana untuk memakai pakaian yang sesuai terutamanya ketika hadir di mana-mana sidang media atau perjumpaan tertentu. Pemilihan warna, jenis pakaian, jenis kain, ka­sut dan lain-lain perlu sesuai dengan keadaan. Tidak perlu terlalu moden dan ​up-to-date sangat, kelihatan menarik pun sudah mencukupi. Berpakaian ala ‘orang putih’ sangat pun orang menyampah juga.