Ini kerana ‘kejutan’ tak sangka itu memberi kesan yang cukup besar kepada pasaran saham dan kewangan negara. Paling ketara, isu hutang RM1 trilion yang secara semberono dinyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hingga menyebabkan pasaran 22 Mei lalu susut 40.78 mata ke paras terendah pada 1,804.25 mata daripada 1,845.03 mata.

Dalam masa sama, tahun 2018 juga menyaksikan kete­gangan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, isu-isu geopolitik dan ketidaktentuan harga minyak mentah global.

Kerajaan turut mengunjurkan ekonomi Malaysia pada 2018 akan berkembang perlahan sekitar 4.5 hingga lima peratus, yang dilihat lebih realistik de­ngan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

Kaji selidik Reuters terdiri daripada 14 pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan suku keempat 2018 pada 4.7 peratus manakala unjuran penganalisis persendirian antara 4.1 hingga lima peratus.

Bagi firma penyelidikan RHB Research Institute, ia menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat lebih rendah pada 4.2 peratus berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Bagaimanapun, tahun ini ia akan berkembang pada 4.6 peratus sama seperti diunjurkan untuk 2018 memandangkan persekitaran global yang lebih mencabar dengan perlindungan dagangan yang berlarutan dan kenaikan kadar faedah global,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Malaysia mencatat KDNK suku pertama 2018 pada 5.4 peratus kemudiannya 4.5 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan separuh pertama tahun ini direkodkan pada 4.9 peratus.

Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) 2018 berkembang 3.1 pera­tus berbanding 2017 didorong oleh peningkatan dalam sektor pembuatan, 4.8 peratus dan elektrik, 3.7 peratus.

Pada November lalu, Fitch Solutions Macro Research, unit Fitch Group pada November menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.6 peratus pada 2018 berbanding 5.1 peratus sebelumnya. Bank Dunia turut melakukan perkara yang sama dengan menyemak turun pertumbuhan KDNK kepada 4.7 peratus daripada 4.9 peratus yang diunjurkan pada Oktober lalu.

Sementara itu, Standard Chartered pula mengunjurkan KDNK suku keempat pada 4.4 peratus dengan keseluruhan 2018 lebih rendah pada 4.6 peratus berbanding 5.9 peratus pada 2017.

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. menjangkakan KDNK mungkin meningkat kepada 4.7 peratus pada suku keempat 2018, daripada 4.4 peratus yang dilaporkan pada suku ketiga selari dengan konsensus pasaran oleh Bloom­berg.

“Aliran pertumbuhan serantau, secara dasarnya. mendatar menuju akhir 2018 tetapi wujud kebimbangan baharu terhadap ekonomi global berikutan pengurangan pendapatan korporat, aktiviti pembuatan lebih perlahan, dasar Amerika Syarikat (AS) yang kurang jelas dan ketegangan perdagangan AS-China yang berlarutan.

“Keadaan tidak menentu yang berpanjangan telah menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan. Sehubungan itu menyebabkan pertumbuhan berdepan risiko aliran menurun,” katanya.

MIDF Research pula meng­unjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang lima peratus pada suku keempat ini dengan mengambil kira pertumbuhan purata IPI pada 3.5 peratus.

“Kami jangkakan prestasi IPI akan berkembang kukuh pada 2019 di tengah-tengah ketegangan perdagangan, permintaan global yang kukuh, peningkatan sentimen perniagaan dan pemulihan secara berperingkat harga komoditi dan mata wang global,” katanya.