IMRI MOKHTAR
IMRI MOKHTAR 

Naib Presiden Eksekutif UniFi, Imri Mokhtar berkata, para pelanggan harus mengambil peluang tersebut bagi membantu TM untuk melengkapkan proses menaik taraf ke UniFi sehingga Mac 2019.

Menurut beliau, berdasarkan statistik pelanggan dan rangkaian terdapat lebih daripada 340,000 pengguna ber­ada di kawasan jalur lebar fiber, namun masih belum lagi menjadi sebahagian daripada 1.26 juta komuniti UniFi.

“Lebih daripada satu juta pelanggan kediaman dan perniagaan di seluruh negara adalah pelanggan jalur lebar menerusi rangkaian tembaga. Kekangan rangkaian ini adalah kelajuan terbaik yang boleh ditawarkan kepada pelanggan Streamyx adalah lapan megabit sesaat (Mbps).

“Di kawasan yang tiada halangan teknikal kami akan menggandakan kelajuan Streamyx tanpa sebarang kos tambahan. Hampir 180,000 pelanggan Streamyx berpeluang untuk menaik taraf secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Imri, pelanggan Streamyx yang layak untuk menikmati naik taraf kelajuan tersebut akan dihubungi melalui emel dan panggilan telefon.

Katanya, pelanggan dikehendaki mengemas kini butiran perhubungan mereka antaranya nombor telefon dan alamat emel bagi memudahkan proses berkenaan.

“Kemas kini boleh dilakukan menerusi laman web UniFi dan aplikasi UniFi Care. Bagi pelanggan Streamyx yang lain TM sedang berusaha untuk memberi penyelesaian yang lebih muktamad.

“Kami juga telah mengadakan sesi perbincangan de­ngan pihak-pihak berkepen­tingan bagi menyediakan pengalaman jalur lebar yang lebih baik ke seluruh negara dengan meneroka pelbagai teknologi yang tepat dan bersesuaian,” ujarnya.

Mengenai aspirasi kerajaan untuk meningkatkan capaian jalur lebar di Malaysia, Imri berkata, TM akan terus menyokong usaha tersebut dan komited menangani isu yang dialami oleh Streamyx dan pelanggan dengan cara yang lebih komprehensif.