Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bagaimanapun penurunan tersebut tidak perlu dilakukan pada tahun ini sebaliknya pada 2019.

Menurut beliau, perang dagangan menimbulkan ketidakpastian terhadap prospek masa depan sama ada ia akan memberi ke­san positif atau sebaliknya kepada global.

“Kalau perkara ini berterusan dikhuatiri perkembangan ekonomi akan terkesan termasuk sektor lua­ran seperti eksport yang merupakan pemboleh ubah penting kepada negara. Jangkaan perkembangan ekonomi pada tahun ini melebihi lima peratus menunjukkan prestasi yang baik.

“Bagaimanapun, sekiranya pertumbuhan tersebut di bawah lima peratus bermaksud wujud kesan perdagangan terhadap negara. Jika benar ia berlaku pihak berkuasa terutama bank pusat perlu mengambil tindakan segera untuk menanga­ninya,” katanya kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Bank Islam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BIMB Holding Berhad, Tan Sri Ambrin Buang, Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Tambah Mohd. Afzanizam, pihaknya menjangkakan ringgit berlegar antara RM3.95 hingga RM4.05 berbanding RM3.85 hingga RM3.95 sebelum ini.

Katanya, perubahan jangkaan itu disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa selain perang dagangan antara AS dan China.

“Dasar mereka (AS) terhadap yuan boleh menyebabkan penurunan nilai mata wang dan perkara ini pernah berlaku pada 2015. Sekiranya berterusan dikhuatiri trend yang sama akan berlaku kembali.

“Kerajaan China perlu campur tangan melalui dasar yang melibatkan mata wang asing bagi mengelakkan penurunan tersebut. Jika berlaku ia akan memberi kesan terhadap nilai ringgit,” jelasnya.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bersidang hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada kadar 3.25 peratus.