Pengerusi PDB, Md. Arif Mah­mood berkata, secara dasar­nya mereka mempunyai pilihan untuk berbuat demikian tetapi perlu berbincang dengan syarikat sebelum memohon kebenaran daripada KPDNKK.

Katanya, bagaimanapun pelaksanaan mekanisme baharu itu tidak memberi kesan kepada pendapatan PDB kerana ia tetap merupakan mekanisme sama seperti sebelum ini yang hanya melibatkan perubahan harga di pam minyak.

“Ya, mereka (pengusaha ste­sen minyak) dibenarkan berbuat demikian tetapi kena berbincang dengan kita terlebih dahulu sebelum mendapat kebenaran KPDNKK jika mahu menjual harga minyak lebih rendah.

“Bagi pihak kami, PDB sentiasa berbincang dengan kerajaan berhubung mekanisme baharu harga minyak ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus dan Ketua Pegawai Kewangan PDB, Norliwati Abdul Wahab.

Mulai 29 Mac lalu, kerajaan mengumumkan pe­netapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula pukul 12.01 ­te­ngah malam bagi menggantikan mekanisme peng­umuman secara bulanan seperti sebelum ini.

Dengan pelaksanaan harga si­ling mingguan itu sebarang perubahan harga Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global.

Dalam perkembangan lain, Md. Arif berkata, PDB masih lagi mencari pembeli untuk melupuskan unitnya di Vietnam, Thang Long LPG Co. Ltd. dan pada masa sama akan terus meningkatkan operasi di Filipina.

Sementara itu, Mohd. Ibrahimnuddin memberitahu, PDB memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM300 juta hingga RM500 juta bagi tahun ini.

“Kebanyakannya diperuntukkan untuk perniagaan runcit termasuk menyusun semula dan menaik taraf stor dan kemudahan sedia ada dan juga meningkatkan aspek keselamatan di stesen minyak,” katanya.

Katanya, PDB juga akan mencari peluang untuk menjalin kerjasama dengan lebih banyak pembekal komponen tulen (OEM) dalam usaha memperluaskan perniagaan minyak pelincir sekali gus memberi pulangan yang lebih baik kepada kumpulan.