IATA dalam laporan Pemantauan Kewangan Syarikat Penerbangan bagi Jun-Julai 2019 berkata, pertumbuhan 4.6 peratus bagi tahun ke tahun itu adalah di bawah daripada purata yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 5.5 peratus.

“Kami kekal berhati-hati mengenai aliran berterusan itu berikutan data bulanan yang turun naik dan risiko penurunan terhadap unjuran global,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, IATA berkata, muatan udara bagi kilometer tan yang diselaraskan secara bermusim merosot pada Jun 2019 selepas mencatat peningkatan selama tiga bulan berturut-turut.

“Penyusutan ini berpunca terutamanya daripada tarif tambahan yang meningkat akibat pertikaian perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, selain pertumbuhan ekonomi yang sederhana,” katanya. - BERNAMA