Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, keuntungan sebelum cukai me­ningkat 46.7 peratus kepada RM134.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai melonjak 54.1 peratus kepada RM119.4 juta pada tempoh sama.

Beliau berkata, keputusan cemerlang itu disokong oleh permintaan yang tinggi untuk sarung tangan dari negara-negara Asia terutamanya India, China dan Vietnam, serta Eropah Timur, Asia Barat dan Amerika Latin.

“Permintaan yang kukuh terhadap sarung tangan ini telah membawa kepada kecekapan kos, hasil daripada kadar penggunaan yang lebih tinggi yang seterusnya menyumbang kepada prestasi lebih baik untuk kumpulan.

“Selain itu, tumpuan Top Glove terhadap inisiatif peningkatan kualiti dan kos, serta memanfaatkan kemajuan teknologi demi menangani cabaran perniagaan juga turut menyumbang kepada peningkatan keuntu­ngan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wee Chai, sebagai sebuah syarikat yang sedang berkembang dan dinamik, Top Glove akan memperluaskan kemampuan pengeluaran secara organik dan juga melalui penggabungan, pengambilalihan serta usaha sama.

“Pembinaan Kilang 31 dan Kilang 32 sedang dijalankan yang mana setelah selesai akan me­ningkatkan jumlah pengeluaran Top Glove sebanyak 74 barisan dengan kapasiti 7.4 bilion sarung tangan setahun.

“Selain itu, pemerolehan Top Glove bagi Aspion Sdn. Bhd. telah selesai pada 5 April lalu dan penyepaduan dua perniagaan tersebut sedang berjalan sejajar dengan rancangan pengembangan kumpulan pada Mei 2018.

“Top Glove juga selesai memperoleh syarikat pengeluaran dan pemasaran produk pembersihan gigi, Duramedical Sdn. Bhd. berjumlah RM2.85 juta yang mewakili usaha kumpulan untuk mempelbagaikan produk perubatan,” katanya.

Beliau kekal positif terhadap prestasi masa depan Top Glove meskipun dengan persekitaran perniagaan yang dijangka terus mencabar termasuk dengan mata wang dolar Amerika Syarikat yang semakin mengukuh.