Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Azizi A Hadi berkata, 10T secara tidak langsung akan membantu meningkatkan sumbangan perniagaan unit itu ke atas perolehan kumpulan berbanding 35 peratus daripada RM12 bilion jumlah perolehan yang dicatatkan pada tahun lepas.

“Kami mempunyai 11,000 asas pelanggan dengan 4,000 di sektor awam yang merangkumi kementerian, agensi, kerajaan negeri, syarikat berasaskan negeri dan pihak berkuasa tempatan, syarikat-syarikat besar dan sebagainya.

“Hampir setiap individu merupakan pelanggan kami. Jadi, ini akan meningkatkan perolehan kami apabila melaksanakan perkara ini (memperkenalkan penyelesaian lebih khusus),” katanya selepas Pameran Industri Pintar TM di sini hari ini.

Pada pameran itu, TM melancarkan penyelesaian 10T untuk memperkukuh komitmennya bagi menyemarakkan industri Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

Penyelesaian 10T itu terdiri daripada rumah pintar, pengurusan bangunan pintar, lampu jalan pintar, parkir kenderaan pintar dan lampu isyarat pintar di bawah kluster bandar yang dihubungkan dan penyelesaian hidup.

Kluster itu direka untuk membantu perancang bandar, pemaju perbandaran dan masyarakat untuk membina bandar yang dihubungkan demi meningkatkan kualiti hidup.

Penyelesaian lain termasuk pengurusan air pintar (kluster penyelesaian utiliti bersambung), sensor genset pintar dan forklift pintar (penyelesaian kilang bersambung).

Selain itu, akuakultur pintar dan hidroponik pintar dikategorikan di bawah penyelesaian pertanian bersambung bagi menangani kecekapan pertanian yang rendah serta meningkatkan kualiti produk pertanian menerusi pengumpulan data masa nyata bersama-sama analisis parameter perladangan. -BERNAMA