Kemerosotan dalam pendapatan ditambah dasar gaji minimum serta kenaikan harga barang menyebabkan organisasi tidak dapat menampung kos upah dan gaji yang akhirnya membawa kepada pengurangan kakitangan.

 

Wartawan Utusan Malaysia, SHAHIZAM TA ZALI mendapatkan pandangan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI bagi menjelaskan apakah pengurangan ini
merupakan satu trend dan langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah itu.

Apakah pandangan Dr. terhadap prospek pekerjaan di Malaysia pada 2019?

Keadaan ekonomi global yang tidak memberangsangkan turut memberi impak kepada ekonomi Malaysia. Ini berpunca daripada kitaran ekonomi, tetapi secara amnya pertumbuhan ekonomi terus berkembang, namun tidak agresif seperti dahulu.

Keadaan ekonomi sekarang telah hampir kepada keadaan pertumbuhan keadaan yang seimbang.

 

Bagaimanapun, jika kemelut ekonomi global pulih pada suku ketiga 2019, pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh kembali meningkat jika tum­puan diberikan kepada peningkatan kualiti tenaga kerja yang lebih produktif.

Usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan melalui pelbagai saluran dan galakan perlu diperbanyakkan. Tumpuan yang khusus juga perlu diberikan kepada pengembangan bidang keusahawanan yang boleh membuka peluang pekerjaan kepada generasi belia di sam­ping meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Adakah pengurangan tenaga kerja di sektor-sektor tertentu menyebabkan kerugian atau kesan buruk kepada rakyat, ekonomi dan negara?

Pengurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu berlaku apabila sesebuah syarikat itu tidak dapat berkembang disebabkan faktor kos operasi tidak dapat ditampung oleh pendapatan.

Terdapat syarikat yang perlu menanggung kerugian di­sebabkan peningkatan suntikan modal semata-mata untuk menampung kos operasi dan bukannya untuk pengembangan syarikat. Secara tidak langsung, ia memberi impak besar kepada penguncupan pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat atau golongan pekerja turut menerima kesan secara terus.

Bagaimana peranan ekonomi dalam mempengaruhi pengambilan dan pengurangan pekerja di Malaysia serta di manakah kedudukan Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau ASEAN?

Apabila sesebuah ekonomi berkembang dengan baik, kadar pengangguran akan berkurangan dan sebaliknya berlaku jika sesebuah ekonomi itu menguncup. Berdasarkan data pengangguran daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk 2018, Malaysia masih lagi berada di dalam guna tenaga penuh iaitu kadar pengangguran masih dalam lingkungan tiga peratus.

Walau bagaimanapun, negara jiran kita iaitu Thailand dan Singapura mempunyai kadar pengangguran rendah. Negara boleh mengkaji apakah strategi yang diguna pakai oleh kedua-dua negara berkenaan untuk dijadikan perbandingan.

Sektor manakah yang dilihat berpotensi untuk mengurangkan dan mencari lebih ramai tenaga kerja baharu?

Berdasarkan data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sektor pembuatan mengalami pengurangan pekerja terbesar diikuti oleh sektor-sektor lain. Melihat keadaan ini, kerajaan boleh meningkatkan keupayaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan peluang pekerjaan terutama bidang keusahawanan dan e-dagang.

Percambahan dan pengenalan idea-idea baharu yang segar boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan ini dibuktikan menerusi bagaimana ekonomi China meningkat dengan drastik sehingga muncul sebagai ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat (AS). Ini kerana mereka me­numpukan kepada buah fikiran berinovasi yang memberi produktiviti tinggi.

Apakah langkah terbaik yang perlu diambil untuk memastikan kadar pengangguran di Malaysia tidak meningkat ke arah membimbangkan?

Pemberhentian pekerja akan meningkatkan bilangan pe­ngangguran dan tidak baik untuk ekonomi dan rakyat, justeru, golongan yang terkesan dan sistem pendidikan perlu menekankan corak berfikir ke­usahawanan dan kreativiti yang mana cara ini dapat memastikan ekonomi Malaysia akan terus berkembang pesat setaraf dengan negara-negara maju.