Saya tidak mencadangkan anda mencuri daripada pemilik asal kandungan tersebut, tetapi dengan mendapatkan kebenaran dan sah. Di Malaysia, lain pula kisahnya. Kecurian kandungan memang berlaku setiap hari, mungkin juga setiap minit demi kepentingan periba­di masing-masing. Ada yang menjual produk, perkhidmatan, mendapatkan pengikut yang ramai dan sebagainya. Perniagaan semakin baik, interaksi di media sosial semakin mening­kat dan para pengikut juga kini mencecah puluhan ribu orang tetapi sayang seribu kali sayang - ia diperoleh daripada sumber yang dicuri.

Dengan meminta kebenaran daripada pemilik asal gambar dan video, strategi ini jauh lebih berkesan berbanding mencuri. Dan ia lebih berkat. Mengapa?

Perkongsian yang lebih banyak

Sekiranya anda meminta kebenaran daripada pemilik asal kandungan, mereka akan me­rasa bangga kerana kandungan yang mereka muat naik itu dilihat bernilai kepada orang lain. Apa yang mereka akan lakukan ialah, turut menderma Like, memberi komen ataupun berkongsi kandungan anda tadi dengan rakan-rakan media sosial mereka. Dengan automatik, status anda akan dilihat oleh komuniti pemilik kandungan tadi. Ini baru seorang, bayangkan anda menggunakan kandungan daripada berpuluh atau beratus orang dengan kebenaran.

Interaksi yang meningkat

Apabila perkongsian meningkat, tahap interaksi pada setiap kandungan yang dimuat naik juga akan meningkat.

Peluang yang lebih besar

Sekiranya pemilik asal gambar atau video yang anda gunakan itu dari Thailand misalnya dan ia turut dikongsi oleh pemilik tadi dengan komuniti sendiri di negara tersebut, akan ada kemungkinan juga anda bakal memperoleh pengikut-pengikut baharu dari sana. Dengan ini peluang untuk melebarkan perniagaan anda di sana akan lebih cerah lagi. Jadi, bagaimana cara terbaik untuk meminta kebenaran dengan lebih profesional? Terdapat beberapa kaedah yang anda boleh gunakan.

Komen pada status yang mana gambar anda minat untuk menggunakannya

Sekiranya anda ternampak satu gambar yang menarik daripada Instagram seseorang contohnya, cuma komen pada status orang itu tentang hasrat anda untuk meminta kebenaran menggunakan gambar tersebut pada media sosial anda. Anda perlu juga memberitahu individu tersebut untuk memberikan kredit padanya melalui tag yang akan anda lakukan.

Peraduan

Anda tidak perlu ke sana dan ke sini untuk mencari dan mencuri gambar yang menjadi milik orang lain. Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan mengadakan satu peraduan, sediakan hadiah yang bersesuaian dan selitkan di situ terma dan syarat yang menyatakan setiap gambar atau video yang dihantar secara automatik akan memberi kebenaran mereka kepada anda untuk digunakan. Mereka akan bersetuju sekiranya ingin menyertai peraduan anda dan memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.

Menghantar pesanan terus

Anda juga boleh menghantar pesanan terus secara peribadi kepada pemilik gambar untuk menggunakannya. Berterus-terang kepada individu tersebut tentang hasrat anda.

Ada juga sesetengah penggiat media sosial yang gemar untuk terus memuat naik gambar atau video milik orang lain, kemudian mereka memberikan kredit me­lalui tag yang dilakukan seolah-olah memberitahu kepada pemilik asal dengan cara terbuka yang mereka menggunakan aset orang itu. Kaedah ini agak beri­siko kera­na mungkin ada pemilik yang tidak suka. Kepada pemilik yang tidak kisah tentang cara ini, tidak mengapa tetapi kepada mereka yang tidak suka, ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati yang mungkin juga berlarutan sehingga memaksa anda mema­damkan status yang dimuat naik. Atau, ia mungkin juga berlarutan sehingga ke peringkat saman dan mahkamah.

Apa yang dapat dirumuskan di sini ialah hanya dengan meminta kebenaran, peluang yang datang amat besar. Ia bermula daripada peningkatan interaksi pada setiap status yang dimuat naik kerana kualiti gambar dan video yang digunakan menarik dan berkualiti tinggi. Para pengikut pula semakin bertambah dan akhir sekali boleh menaikkan hasil jualan produk atau perkhid­matan anda kepada para pengguna. Ia mudah, bukan?