Menurut beliau, teknologi itu diakui mempunyai pelbagai manfaat dan sistem transaksi tanpa tunai antaranya boleh mengurangkan aktiviti jenayah tersebut. Meskipun begitu, sesetengah pihak mempunyai pendapat berbeza. Wartawan Utusan Malaysia, NUR HANANI AZMAN menemubual Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW bagi mengupas baik buruk tentang masyarakat tanpa tunai.

Mengapa persekitaran tanpa tunai tidak mampu menghentikan jenayah?

Sebarang cadangan untuk menjadikan masyarakat negara kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris cashless society tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah jenayah yang melibatkan penggunaan wang seperti pengubahan wang

 

haram, penyelewengan dan rasuah kerana penjenayah akan terus mencari jalan melakukan kegiatan jenayah mereka. Malah, dengan adanya masyarakat tanpa tunai ini, masalah jenayah baharu dipercayai akan mula timbul dan membawa masalah baharu kepada masyarakat kita. Lebih dibimbangi lagi, masyarakat kita terdedah kepada pelbagai jenis jenayah baharu melibatkan penggunaan teknologi moden.

Penggunaan transaksi elek­tronik juga tidak terlindung daripada masalahnya yang tersendiri kerana ia juga boleh terdedah dengan pelbagai jenis risiko seperti melibatkan pro­ses penggodaman, penipuan, penya­maran dan penyalahgunaan maklumat.

Apa lagi keburukan lain?

Ramai pihak menjadi mang­sa terhadap penipuan melalui penggunaan transaksi moden ini. Pada awal Oktober 2018, kita didedahkan dengan statistik 8,313 kes penipuan siber membabitkan wang berjumlah RM300 juta yang direkodkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Januari hingga 3 Oktober tahun lalu. Jenayah siber ini termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data. Selain risiko berlakunya kegiatan jenayah melalui transaksi elektronik, kebergantungan terhadap transaksi elektronik akan mengundang masalah lain kepada masyarakat kita seperti boros berbelanja, hutang tidak dibayar serta terdedah terhadap bayaran sampingan seperti caj atau cukai perkhidmatan yang perlu dibayar sekiranya kita menggunakan transaksi elektronik. Tambahan pula, tidak semua tempat di negara kita disediakan dengan kemudahan transaksi secara elektronik. Ini secara tidak langsung, memberi beban tambahan kepada pihak pengguna untuk melakukan aktiviti harian mereka bagi membeli sesuatu barangan atau menggunakan perkhidmatan.

Adakah kita tidak boleh lari daripada arus semasa?

Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas pada masa kini banyak mengubah gaya kehidupan seharian masyarakat kita. Peranti canggih tersebut mula mempengaruhi cara kehidupan seharian kita pada masa ini dan perubahan ini terma­suklah perubahan terhadap cara berkomunikasi, menerima dan menyebarkan maklumat, berhibur, melakukan kerja serta cara membelanjakan wang. Perubahan ini bukan sahaja melanda masyarakat kita, hampir semua masyarakat dunia mula mengunakan serta bergantung penuh pada aplikasi moden ini. Terdapat juga segelintir negara khususnya di benua Eropah yang kini sedang berjinak–jinak untuk kurang bergantung pada pengunaan mata wang tunai seperti wang kertas dan syi­ling yang telah digunakan sejak beratus tahun lamanya dan beralih kepada satu sistem baharu yang lebih canggih tanpa memerlukan transaksi wang tunai. Terdapat banyak kelebihan dan kekurangan dalam menjadikan masyarakat tanpa tunai.

Apakah kebaikan konsep tanpa tunai?

Kewujudan dan penggunaan wang tunai dilihat mempunyai kos pengurusan yang tinggi. Sebagai contoh, ia perlu dikira dan disimpan oleh peniaga dan selepas itu perlu dipindahkan ke dalam akaun bank. Ia juga terdedah kepada beberapa risiko seperti kecurian, rompakan, salah guna, penyelewe­ngan dan rasuah. Penggunaan konsep cashless iaitu transaksi tanpa melibatkan wang tunai pula menjadikan operasi perniagaan lebih mudah diurus di samping menjimatkan masa dan kos serta dipercayai selamat untuk dikendalikan. Oleh itu, transaksi secara kad debit, perbankan mudah alih menggunakan telefon pintar, perkhidmatan seperti Touch ‘n Go dan seumpamanya menjadi keutamaan ramai pihak pada masa kini.

Adakah penggunaan wang akan kekal relevan?

Penggunaan sistem wang secara konvensional seperti wang tunai dilihat masih diperlukan dalam negara kita untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak melakukan urusan harian. Sebelum menjadi masyarakat tanpa tunai adalah penting supaya masyarakat negara kita dilatih, dididik dan diberi kese­daran mencukupi terlebih dahulu mengenai risiko yang boleh berlaku sekiranya mereka tidak berhati–hati dan bertanggungjawab terhadap kemudahan transaksi kewangan yang akan diberikan kepada mereka. Pada masa sama, kerajaan pula perlu memastikan peruntukan undang–undang benar–benar mencukupi dan berkesan mengatasi segala masalah jenayah melibatkan penggunaan transaksi tanpa tunai sebelum kita ingin menjadikan masyarakat kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai.