Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Lendlease, Steve McCann berkata, empat bank tersebut adalah Hong Kong and Shanghai Banking Corp. (HSBC); Standard Chartered Bank; Sumitomo Mitsui Banking Corp. (SMBC) and Malayan Banking Bhd. (Maybank).

Beliau berkata, pelaburan oleh Lendlease beserta komitmen yang diberikan oleh bank-bank global berkenaan mencerminkan keyakinan komuniti kewangan dan perniagaan antarabangsa terhadap projek pembangunan tersebut.

“Ini adalah projek global utama Lendlease dengan kerjasama TRX City, kami komited mengumpulkan kedua-dua kepakaran tempatan dan antarabangsa untuk merealisasikannya,” katanya dalam majlis pelancaran pembangunan bersama The Exchange TRX di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ke­tua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib.

Projek itu yang sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter merupakan pusat tumpuan bagi projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) seluas 28.32 hektar.

Pembangunan usaha sama The Exchange TRX seluas 6.9 hektar itu pula akan merangkumi sebuah hotel, sebuah pejabat gred A, pangsapuri kediaman, ruang runcit dan riadah yang diintegrasikan dengan taman dalam bandar seluas 4.04 hektar.

Sementara itu, Azmar berkata, penyewa pertama TRX dijangka memulakan operasi pada suku kedua tahun ini.

“The Exchange TRX mempunyai semua komponen untuk meningkatkan tahap pem­­bangunan TRX yang lebih meluas dan ia akan mengukuh­kan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa terkemuka dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang terangkum dan lancar,” kata­nya.

Nilai penyelesaian keseluruhan pembangunan TRX dianggarkan melebihi RM40 bilion manakala The Exchange TRX dijangka memiliki nilai me­lebihi RM9 bilion.