Pada ruangan kali ini, Cikgu Saham akan beri penjelasan dan rumusan berkenaan perkara itu memandangkan ia kerap diajukan oleh pengikut di laman sosial Facebook.

Kebiasaannya, seseorang yang tiada pengetahuan tentang pasaran saham dan tidak pernah melihat pergerakan pasaran akan mengambil masa selama dua tahun untuk mahir dalam saham.

Tempoh masa yang boleh dikatakan agak lama ini memberi banyak ruang dan pengalaman bagi orang yang baharu kenali dunia saham. Dalam tempoh ini juga, seseorang pelabur mahupun pedagang saham sudah mempunyai pengetahuan yang agak banyak dan mempunyai pengalaman membuat beli dan jual saham walaupun dalam proses ini mereka tidak terlepas daripada kerugian.

Berbeza ketika berada dalam keadaan `kosong’ tidak tahu apa-apa tentang pasaran saham kini telah menunjukkan banyak perubahan dalam tempoh dua tahun itu. Sekiranya pelabur dan pedagang baharu ini dibimbing dan mendapat tunjuk ajar, maka tempoh dua tahun ini sudah cukup menjadikan mereka seorang yang boleh berdikari dalam memilih saham-saham berpotensi.

Selain itu, sekiranya seseorang pelabur dan pedagang saham merupakan seorang yang rajin membaca serta ke­rap mengambil tahu berita dan perkembangan semasa pasaran, dia berpotensi dapat membuat prospek pasaran (market outlook) sendiri.

Mempunyai prospek pasaran sendiri agak penting kerana kadang-kala kita lewat memperoleh prospek pasaran daripada mana-mana sumber atau daripada syarikat broker saham.

Walau bagaimanapun, tempoh dua tahun ini bukanlah bermakna seseorang itu telah menjadi seperti seorang pakar saham atau penganalisis pasaran yang hebat serta sentiasa kekal membuat keuntungan setiap kali masuk pasaran ke­rana pelaburan saham ini terdedah kepada risiko turun naik harga saham syarikat tersenarai termasuk lain-lain risiko.

Salah satunya ialah risiko syarikat tersenarai yang me­ngalami kerugian perniagaan hingga menyebabkan harga sahamnya jatuh. Banyak faktor yang boleh menyebabkan perubahan harga saham syarikat tersenarai seperti yang telah di­terangkan pada kolum yang lepas di ruangan ini.

Juga perlu diingatkan bahawa walaupun seseorang itu mempunyai maklumat serta pengalaman yang lama dalam pasaran saham, dia turut tidak terkecuali me­ngalami kerugian disebabkan faktor-faktor yang disebutkan tadi serta kadang-kala pasaran juga jatuh tanpa sebab atau jatuh dengan tiba-tiba selain daripada faktor-faktor yang luar jangka atau terjadi buat pertama kalinya.

Tempoh dua tahun ini merubah seseorang yang tidak tahu apa-apa tentang pasaran kepada seseorang yang boleh berdikari dan tahu apa yang perlu dilakukan dalam pelaburan yang diceburi. Sekurang-ku­rang­nya mereka telah mempunyai matlamat, pelan pelaburan, prinsip dan falsafah serta menjadi lebih matang dan bijak.

Tenaga pengajar atau individu yang memberi tunjuk ajar atau bimbingan pula harus merupakan seseorang yang be­tul-betul mahir, berpengalaman dalam beli dan jual saham sebelum layak memberi tunjuk ajar dan bimbingan.

Individu yang telah melalui jatuh bangun dalam saham dan telah membuat untung dan rugi dalam urus niaga adalah seorang pengajar yang bagus. Maka sekiranya tenaga pengajar tersebut telah melalui waktu-waktu sukar atau telah alami kerugian maka dia boleh membantu berkongsi pengalaman sebenar kepada pelabur dan pedagang saham untuk pengurusan risiko termasuk bagaimana untuk menutup kerugian yang lampau.

Tidak hairanlah jika Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga memilih individu-individu yang sesuai dan profesional serta berpengalaman dalam memberi kursus dan ceramah saham. Ini amat berbeza dengan pelabur dan pedagang saham media sosial yang lebih tertarik kepada ayat-ayat pengiklanan daripada pengalaman atau profil individu-individu yang memberi ceramah saham.

Pelabur dan pedagang saham perlu tahu siapa individu yang akan membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka. Perlu menyelidik profil dan latar belakang serta pengalaman tenaga pengajar ini dalam pasaran saham.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada yang ingin mempelajari cara menjana pendapatan di pasaran saham sila hubungi talian 019-2352037 dan untuk perisiaan carta 013-3899162.