Syarikat mi­nyak dan gas (O&G) negara itu telah menandatangani satu perjanjian dengan pelabur infrastruktur global terkemuka, I Squared Capital bagi mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam M+.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ari­ffin berkata, pengambilalihan tersebut dijangka selesai pada bulan ini.

Menurut beliau, M+ ditubuhkan pada 2013 menawarkan kepakaran kepada pelanggan komersial dan industri terutama bagi penyelesaian menyeluruh untuk projek-projek kuasa solar di bumbung dan ta­nah.

“M+ menyediakan kepakaran merentasi lebih 200 lokasi di India, Asia Barat dan Asia Tenggara. Syarikat itu mempunyai keupayaan kumulatif melebihi 500 megawatt (MW) di bawah operasi dan pembangunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Zulkiflee, pengambilalihan tersebut men­cerminkan hasrat strategik Petronas untuk berkembang dalam segmen berkenaan selain sebahagian daripada strategi syarikat meneroka perniagaan tenaga baharu melangkaui sektor O&G.

Katanya, ia juga merupakan usaha sama antarabangsa solar yang pertama dan berharap dapat menyediakan penyelesaian tenaga kepada para pelanggannya dalam pasaran tenaga yang merekodkan pertumbuhan tinggi ini.

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Rakan Pengasas di I Squared Capital, Gautam Bhandari berkata, M+ berkembang lebih 400 peratus setahun dan menjadi syarikat berkelas dunia yang memberi perkhidmatan kepada korporat di Asia bagi mengurangkan gas rumah hijau dan memerangi perubahan iklim.

“Kami yakin M+ akan terus memainkan peranan penting dalam membina masa depan yang lebih hijau bersama pasukan pengurusan yang hebat dan mengucapkan selamat maju jaya terhadap usaha mereka pada masa akan datang,” katanya.

Petronas juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif tenaga bersih di Malaysia.

Syarikat itu baru-baru ini mengumumkan usaha sama dengan cabang pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM Holdings Sdn. Bhd. untuk membangunkan loji fotovoltaik solar serta pengoptimuman tenaga di kampus dan projek-projek solar atas bumbung.