Perbadanan gadai janji negara itu berkata, hasil terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah Islam daripada sistem kewangan domestik.

“Kami gembira dengan kejayaan pemuktamadan CCP dan ICP itu memandangkan ia masing-masing merupakan terbitan keempat dan kelima bagi Ogos.

“Ini menjadikan jumlah nilai terbitan bagi bulan ini sahaja adalah RM1.8 bilion, yang merupakan paling tinggi bagi 2019 setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chung Chee Leong dalam kenyataan hari ini.

Pemuktamadan ini menjadikan terbitan syarikat setakat ini bagi 2019 adalah bernilai RM5.6 bilion.

Walaupun wujud ketidaktentuan ketara daripada unjuran kadar pertumbuhan global seperti dibuktikan menerusi beberapa pelonggaran dasar monetari di rantau ini, namun kertas konvensional dan kertas jangka pendek Islam itu memperolehi harga kompetitif yang dirujuk pada 15 mata asas di bawah Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan.

“Terbitan itu akan dilanggan sepenuhnya oleh institusi kewangan yang terus mencari aset pelaburan gred tinggi jangka pendek di peringkat domestik,” katanya.

- BERNAMA