Pengurus Besar Asia Tenggara dan Ocenia UR, Sakari Kuikka berkata, PKS boleh belajar menggunakan cobot yang telah terbukti dapat meningkatkan produktiviti sehingga 30 peratus dalam sektor pembuatan berbanding robot perindustrian tradisional.

“Cobot adalah lengan robot yang boleh digunakan dalam hampir mana-mana industri, dalam apa juga proses dan oleh mana-mana pekerja.

“Oleh kerana ia mudah dipasang dan mudah diprogramkan tanpa memerlukan pakar, kita lihat ini boleh membantu mengembangkan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi, meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran tinggi dan mengukuhkan inovasi dan kapasiti PKS,” katanya.

Kuikka berkata demikian pada taklimat media di Pameran Teknologi Perkakas Mesin, Kerja Logam dan Automasi Antarabangsa ke-25 (AUTOMEX 2019) di sini hari ini.

Menurut laporan International Federation of Robotics 2017 Robot Density, Malaysia menggunakan hanya 45 unit robot perindustrian bagi setiap 10,000 pekerja pada 2017, hampir 50 peratus di bawah purata global pada 85 unit.

Kuikka berkata, cobot UR yang kompak dan ringan adalah selamat, mudah digerakkan, hanya memerlukan ruang terhad dan boleh berfungsi bersebelahan dengan manusia tanpa memerlukan halangan keselamatan, tertakluk kepada penilaian risiko.

Tambahnya, ia juga efektif dari segi kos dan boleh mengautomasikan pelbagai aplikasi termasuk pembungkusan, pemasangan palet dan skru, pemasangan, kimpalan serta mencabut dan meletak, memudahkan automasi bagi semua saiz perniagaan. - BERNAMA