Tidak seperti media sosial yang menggunakan kaedah pengumpulan pengikut, SEO lebih kepada mendapatkan komuniti di internet yang sebelum ini tidak pernah mendengar tentang anda mahupun jenama anda, untuk perasan tentang anda dan mengenali anda dengan lebih dekat.

Golongan komuniti ini bia­sanya akan mencari sesuatu di internet dan apabila mereka menaip beberapa kata kunci yang membentuk persoalan ke dalam kotak pencarian Google contohnya, senarai yang Google sediakan selepas itu merupakan antara yang terbaik menurut algoritma yang digunakan.

Secara mudah, algoritma Google akan mencari laman web yang mempunyai autoriti tinggi untuk disenaraikan mengikut kata-kata kunci yang dima­sukkan ke dalam kotak penca­rian. Senarai ini mungkin dapat membantu anda mendapatkan autoriti yang baik agar mudah dijumpai di Google melalui capaian SEO.

Laman web interaktif

Majoriti pencarian sesuatu maklumat di internet kebanyakan dicari melalui peranti pintar mudah alih seperti telefon dan tablet dan bukannya komputer. Google kini mempunyai versi pencarian mudah alih dan juga versi untuk komputer. Sekiranya laman web anda tidak interaktif atau tidak dioptimumkan untuk peranti mudah alih, kemungkinan besar laman web anda tidak dijumpai dalam versi ini. Ia cuma wujud pada sebelah komputer sana yang tidak ramai orang menggunakannya.

* Penulisan artikel yang konsisten

Bagaimana anda sendiri melakukan apa jua pencari­an maklumat untuk tujuan peribadi mahupun pekerjaan? Sudah pasti dengan menaip sesuatu pada kotak pencarian Google.

Kebanyakan paparan yang disediakan Google adalah berbentuk penulisan artikel. Google turut memaparkan pencarian video dan berita. Jadi, anda perlu menulis dan ia perlu konsisten. Sekurang-kurangnya seminggu satu artikel, kalau boleh dua hingga tujuh artikel. Ini yang terbaik. Barulah anda dan jenama anda akan dijumpai.

* Kandungan yang asli dan bermanfaat

Jangan jadi jenama yang membosankan dengan menulis, mereka bentuk grafik dan membuat video tentang sesuatu yang telah dilakukan oleh orang lain. Ia perlu bukan sahaja unik, tetapi juga asli, mempunyai emosi dan memberi manfaat kepada para pengguna.

* Kata-kata kunci yang spesifik untuk tajuk dan di dalam artikel

Jangan main tulis sahaja tajuk kerana hanya dengan kesilapan kecil begini ia akan membuatkan artikel anda tidak dijumpai di internet apabila dicari.

* Menulis untuk penerbitan luar

Mempunyai laman web atau blog sendiri memang baik, tetapi ia juga harus dibantu dengan menulis untuk penerbitan luar. Apabila anda menulis untuk penerbitan luar, pastikan artikel anda mempunyai beberapa pautan yang kembali ke laman web anda. Dengan pautan-pautan ini, ia akan membantu menaikkan kedudukan ranking anda di enjin pencarian seperti Google.

* Ruangan komen di bawah artikel

Jangan lupa sediakan ruang komen pada bahagian bawah setiap ruangan artikel yang ditulis. De­ngan komen-komen yang diberikan oleh pembaca, ia akan membantu meningkatkan penggunaan kata kunci yang anda miliki dan di indeks oleh Google nanti.

Menulis di LinkedIn dan Medium

Selain penulisan anda dipaparkan oleh penerbitan luar, anda juga boleh menguatkan strategi ini dengan turut mempunyai akaun di LinkedIn dan Medium. Pada kedua-dua platform ini, pastikan juga penulisan artikel anda mempu­nyai pautan-pautan yang kembali pada laman web anda.

* Kongsi artikel yang ditulis di media sosial

Tanpa media sosial, anda tidak akan mampu membina kekuatan pengikut yang ramai dalam masa yang singkat pada kadar amat murah. Anda tidak boleh hanya berada pada satu rangkaian sahaja tetapi seboleh-bolehnya seberapa banyak rangkaian yang mampu. Namun begitu, fokuskan kepada pembinaan pengikut pada satu rangkaian terlebih dahulu. Kemudian kongsi artikel anda yang terdapat di dalam laman web atau blog di rangkaian media sosial ini untuk tatapan pengikut.

* Dapatkan penulis jemputan

Jangan menulis seorang diri, anda akan penat nanti. Jemput beberapa orang yang anda kenali dan mempunyai bidang sama serta mampu menulis dengan baik di laman web anda. Penerbitan artikel pada laman web anda akan menjadi lebih konsisten dan memiliki kata-kata kunci yang jauh lebih banyak berbanding sebelumnya.