ZAKARIA ABDUL RASHID

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid mendakwa, kadar tunggakan bayaran balik hampir mencecah RM30 bilion itu menyebabkan kerajaan tertekan untuk mengeluarkan sebarang dana bagi perbelanjaan semasa dan perbelanjaan pembangunan yang jika tidak dilaksanakan memberi kesan buruk kepada rakyat.

Ujarnya, LHDN merupakan organisasi yang menjanakan pendapatan langsung kepada negara, justeru sebarang masalah hutang yang membelenggu pasti memberi kesan kepada kerajaan dan ekonomi negara.

“Apabila hasil kerajaan bermasalah, kerajaan berdepan tekanan untuk berbelanja. Perlu diingatkan 95 peratus hasil kerajaan digunakan untuk perbelanjaan semasa iaitu operasi jabatan dan kementerian. Wang ini akan digunakan untuk bayar gaji kakitangan awam, beli barang dan peralatan, jika perbelanjaan tertekan pasti rakyat menerima tempiasnya.

“Satu perkara lagi, apabila orang (pelabur) tahu rekod kita buruk dalam menguruskan kewangan, usaha untuk menerbitkan bon atau sukuk berhadapan masalah apabila rating kita tidak baik. Ini akan mewujudkan sentimen tidak percaya dan perkara ini tidak baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan kerajaan didakwa berhutang dengan rakyat hampir RM30 bilion ekoran gagal menjelaskan bayaran balik GST bernilai RM19.24 bi­lion dan yang terbaharu LHDN turut dikatakan belum mengembalikan lebihan potongan cukai berjadual (PCB) sebanyak RM10 bilion kepada pembayar cukai.

Dengan mengambil kira tunggakan bayaran balik LHDN RM10 bilion, tanggungan membayar balik GST sebanyak RM19.24 bi­lion serta hutang-hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hampir RM2 bilion, kini timbul persoalan bagaimana kerajaan mampu untuk menanggung ke­semua beban itu yang dianggarkan melebihi RM31 bilion.

Lebih parah lagi apabila kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan lebih rendah berbanding kutipan GST kira-kira RM20 bilion, selain harga minyak dunia yang masih belum stabil.

Kesemua masalah itu bakal menyebabkan kerajaan menanggung beban kewangan RM51.24 bilion.

Keadaan itu pastinya akan meletakkan kerajaan dalam keadaan defisit pada kedudukan lebih membimbangkan, yang sekali gus akan mempengaruhi agensi-agensi penarafan antarabangsa untuk menurunkan penarafan kredit mereka terhadap Malaysia, yang pastinya menjejaskan persepsi pelabur terhadap negara.

Kekurangan pendapatan itu juga pastinya membuatkan segala janji-janji Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) amat tipis untuk dilaksanakan.

Sementara itu, Ketua Pusat Perniagaan Sosial Yunus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lokman Hakiem Osman berkata, secara logiknya dakwaan hutang LHDN sebanyak RM10 bi­lion boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Katanya, RM10 bilion boleh digunakan bagi operasi beberapa kementerian penting seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan pelbagai perancangan pembangunan untuk rakyat.

“Dakwaan ini jika benar-benar berlaku boleh memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan. Perkara ini serius dan saya berharap LHDN dapat memberikan penjelasan terperinci.

“Isu ini melibatkan ketelusan kerajaan dalam mengelola wang rakyat, hanya melalui penjelasan dapat meleraikan segala kegusaran yang timbul,” katanya.