Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, selain itu bagi mendapatkan tambang murah, kos yang rendah diperlukan dan bagi memastikan kos rendah, lapangan terbang yang mudah diperlukan.

TONY FERNANDEZ
TONY FERNANDEZ 

Katanya, terdapat begitu banyak momentum terhadap lapangan terbang tambang murah.

“Saya fikir untuk pengguna cukai lapangan terbang perlu diturunkan. Kebanyakan negara kini mahukan terminal kos rendah.

“Mereka kini melihat faktanya ialah lapangan terbang tidak mampu memenuhi semua keperluan. Untuk benar-benar mendapatkan kedua-dua pasaran, mereka perlukan lapangan terbang kos rendah dan lapangan terbang per­khidmatan penuh,” katanya menerusi akaun Twitter milik beliau di sini hari ini.

Tony hari ini berjumpa de­ngan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur.

Tony berkata, kumpulan sangat gembira untuk bertemu MAHB berkaitan sebarang topik dan yang penting, model kos rendah dihargai.

“Kami gembira dengan sambutan positif KWSP dan berharap isu itu dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Tony menerusi kenyataan akhbar menegaskan pihaknya telah mencadangkan pengantaraan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang diperuntukkan di bawah Akta Mavcom 2015, tetapi ditolak.

“Malangnya, Mavcom ju­ga telah memutuskan untuk mengambil pendekatan hands-off walaupun isu ini terletak dalam lingkungan Mavcom,” katanya.

Semalam, Tunku Alizakri pada sidang akhbar sempena pengumuman Prestasi Kewangan KWSP 2018 berkongsi harapan supaya krisis antara dua pihak terbabit dapat di­selesaikan secepat mungkin.

KWSP adalah pemegang saham kedua terbesar dalam MAHB dengan pegangan ke­pentingan sebanyak 10.81 peratus, sementara dalam Air­Asia pula, ia mempunyai kepentingan sebanyak 5.64 peratus.

Pertikaian bermula sejak Disember 2018 itu apabila anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. mengambil tindakan undang-undang terhadap Air­Asia Bhd. yang juga unit AirAsia Group serta penerba­ngan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd. dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan PSC.

PSC dibayar oleh penum­pang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan menerusi pembelian tiket sebelum diserahkan kepada MAHB.

AirAsia menerusi kenyataan baru-baru ini menyifatkan peningkatan PSC yang dikenakan MAHB adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif terutama kepada pe­langgan MAHB sendiri.