Tidak dinafikan sebilangan orang mengatakan agar tidak sekali-kali tamak apabila membuat urus niaga saham. Ibarat pepatah Melayu berbunyi ‘Orang tamak selalu rugi’.

Dalam pelaburan atau perdagangan saham, seseorang pelabur boleh tamak kerana harga saham naik dengan ba­nyak. Maka, dengan kenaikan yang banyak itu, pelabur atau pedagang saham memperoleh untung yang lumayan.

Ada masa-masanya saham syarikat tersenarai boleh naik sehingga seratus peratus atau lebih dalam sekelip mata. Tidak perlu menunggu tempoh yang lama untuk mendapat pulangan berganda-ganda kerana dalam pasaran saham, kenaikan harga saham tidak dikawal.

Ia ditentukan oleh permintaan dan penawaran di antara dua pihak iaitu pembeli dan penjual.

Justeru, kenaikan yang ba­nyak ini disebabkan oleh saham-saham yang bertukar tangan di antara pembeli dan penjual sama ada di pasaran terbuka mahupun luar pasaran.

Terdapat juga manipulasi saham yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk menolak naik harga sesuatu saham syarikat tersenarai. Bagaimanapun, aktiviti ini sentiasa dipantau oleh Bursa Malaysia dan apa-apa kenaikan luar biasa akan dikenakan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) ke atas syarikat tersenarai tersebut.

Pelabur dan pedagang yang ingin pulangan yang lumayan perlu mengambil sikap sentiasa bersedia sekiranya saham syarikat itu bakal naik kepada paras limit-up. Kenaikan paras limit-up merupakan kenaikan harga saham sebanyak tiga puluh pera­tus berdasarkan harga penutup pasaran semalam.

Tamak untuk meraih pula­ngan pelaburan sebanyak tiga puluh peratus ini merupakan tamak yang mengikut keadaan atau tamak yang dibolehkan. Pelabur menunggu seketika semasa sesuatu saham syarikat tersenarai itu dalam proses menaik ke arah kenaikan paras limit-up.

Oleh kerana itulah, pelabur dan pedagang saham harus belajar dan ketahui peluang-peluang yang ada di dalam pasaran Bursa Malaysia.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak mengetahui terdapatnya kenaikan paras limit-up ini, pastinya pelabur dan pedagang saham akan menjual terlalu awal dan terlepas daripada memperoleh untung lumayan.

Kenaikan paras limit-up yang dibenarkan oleh Bursa Malaysia ialah kenaikan tiga puluh peratus daripada harga penutup pasaran dan terhad kepada kenaikan tiga kali secara berturut-turut.

Tidak disangkal lagi bahawa pelaburan di pasaran saham Bursa Malaysia ibarat tempat untuk menggali emas. Untuk menggali emas di dalam perut bumi ini memerlukan kepakaran, kesabaran, tenaga dan wang ringgit.

Kadang-kala kita tidak menjumpai emas setelah penggalian dibuat dan banyak wang dan tenaga telah dilaburkan dalam kerja-kerja penggalian itu.

Justeru, untuk mendapatkan emas dari sepuluh tempat penggalian misalnya, tidak mustahil jika tujuh tempat kita peroleh emas dan hanya tiga tempat yang mengandungi air. Dari tujuh lombong emas ini, ia memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada kita.

Pelabur dan pedagang saham perlu sentiasa mengekalkan prinsip dan disiplin agar dapat bertahan dalam pasaran yang ada ketikanya sangat mencabar. Lebih-lebih lagi ketika pasaran dalam keadaan ketidaktentuan.

Pelabur dan pedagang saham juga perlu sentiasa membuat pembelian setiap saham syarikat tersenarai dalam nilai yang sama.

Sebagai contoh, membeli saham syarikat tersenarai A pada harga RM0.30 bersamaan kuantiti sebanyak 30,000 unit. Apabila membeli saham syarikat tersenarai B pada harga RM0.40 bersamaan kuantiti sebanyak 22,000 unit. Perbezaannya ialah dari segi kuantiti saham tersebut.

Untuk menentukan berapa kuantiti yang perlu dibeli ialah dengan mengambil kira harga saham seunit didarab dengan kuantiti saham.

Sentiasa kekalkan kuantiti yang sama dan jangan membuat pembelian dua kali ganda walaupun anda memperoleh untung pada pertama atau ke dua kali pada saham syarikat tersenarai yang sama.

Sebagai contoh, pada pertama kali membeli saham syarikat tersenarai ADD bersamaan 20,000 unit dan anda telah menjualnya dan memperoleh keuntungan. Apabila anda dapati harga saham syarikat tersenarai ADD naik lagi sejurus anda menjualnya, anda membuat pembe­lian kali ke dua sebanyak 40,000 unit kerana ingin memperoleh untung yang lebih banyak.

Cara yang betul ialah hanya membeli 20,000 unit sahaja seperti mana kuantiti asal yang anda beli pada pertama kali saham syarikat tersenarai ADD.

Nantikan sambungan topik ini di minggu hadapan.

Seminar Pasaran Modal Utusan akan diadakan pada 28 Julai 2019. Sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156 untuk mendaftar.