SunCon dalam kenyataannya berkata, bagi suku berakhir 30 Jun 2019, syarikat mengumumkan perolehan sebanyak RM440.2 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM41.2 juta.

“Keseluruhan nilai perolehan kumpulan itu pada Jun 2019 sebanyak RM5.8 bilion, dengan jumlah RM1.53 bilion bagi perolehan baharu diterima setakat ini, melebihi sasaran pihak pengurusan iaitu RM1.5 bilion bagi nilai perolehan baharu diraih pada separuh pertama 2019,” katanya dalam di sini hari ini.

Pengarah Urusan, Chung Soo Kiong berkata, SunCon masih memburu pelbagai tender di dalam dan luar negara dan menyasarkan untuk memperoleh kerja pertamanya di luar negara pada tahun ini.

“Kami positif dengan prospek sektor pembinaan tempatan berikutan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur RM44 bilion, dan juga terdapat peluang dalam sektor tenaga lestari seperti pembangunan projek Fasa 3 Solar Berskala Besar,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan menjangkakan lebih banyak projek akan diumumkan dalam 12 bulan akan datang.

Mengenai prospek, Soo Kiong berkata, kumpulan turut menerokai pasaran ASEAN.

Katanya, di Myanmar, kumpulan menjalin kerjasama dengan bahagian pembinaan Kumpulan Capital Diamond Star, Capital Construction Ltd., dan telah mengemukakan tender bagi projek pembangunan bercampur di Mandalay, Myanmar.

“Kami juga sedang menyediakan untuk mengemukakan tiga bidaan bagi projek infrastruktur jalan raya di India menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya. - BERNAMA