Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada keupayaan syarikat tersebut yang kini menghasilkan 100 peratus produk tenaga solar untuk tujuan eksport, menyumbang hasil kepada kerajaan negeri serta penduduk di sekitar Alor Gajah sejak beroperasi.

"Sejak mula beroperasi di Rembia, Sunpower banyak membantu kerajaan negeri dan penduduk Melaka sama ada melibatkan pendapatan kepada Melaka dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan malah turut membangunkan kawasan sekitar Alor Gajah.

"Daripada segi penggunaan tenaga kerja tempatan, Sunpower menggunakan khidmat lebih 50 peratus tenaga kerja penduduk negeri ini manakala daripada segi kerjasama dengan pembekal tempatan pula, syarikat ini bekerjasama dengan lebih 70 peratus syarikat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang berkenaan di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd. Rafiq Naizamohideen; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew dan barisan pemimpin kerajaan negeri lain.

Sebelum itu, ketibaan Adly di kilang tersebut disambut oleh pengurusan Sunpower termasuk Pengarah Urusan syarikat, Wouter Juliaan F. Ooghe dan Naib Presiden Global Cell Manufacturing, Markus Sickmoeller.

Adly dan rombongan pemimpin kerajaan negeri turut diberi taklimat mengenai operasi syarikat berkenaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebelum melawat ke beberapa bahagian kilang berkenaan untuk melihat sendiri operasi syarikat pengeluar tenaga solar itu. - UTUSAN ONLINE