Walaupun baru beroperasi sejak tiga tahun lalu, HADC yang telah mengeluarkan 19 jenis susu pelbagai perisa setakat ini mahu ‘berkongsi rezeki’ dengan usahawan kecil tempatan bagi memastikan susu Summerfield berjaya menambat hati pengguna.

Oleh demikian, Pengarah Urusan HADC, Datuk Johannis Al-Arif Ibrahim memaklumkan, syarikat itu merancang menyediakan pelbagai insentif khas buat sesiapa sahaja yang berminat mendaftar sebagai stokis Summerfield di seluruh negara.

Menyedari perubahan cita rasa pengguna yang kini mahukan penghantaran terus ke rumah, Johannis Al-Arif mengambil inisia­tif mewujudkan program stokis supaya capaian pengguna kepada produk Summerfield tidak pernah terputus.

“HADC menyediakan pelbagai insentif khas kepada stokis berdaftar termasuk sokongan dan khidmat nasihat yang berterusan. Malah, kita juga telah umumkan 10 stokis terbaik mendapat peluang menggunakan sebuah trak aiskrim kami secara percuma untuk menyertai mana-mana acara atau ekspo.

“Mereka bukan sahaja menjual susu Summerfield, tetapi boleh menambah pendapatan dengan menjual aiskrim menggunakan produk kami.

“Kami tahu cara pembelian pada masa kini telah berubah. HADC melihat ini juga satu peluang untuk membantu golongan usahawan mencari pendapatan tambahan. Apa yang lebih pen­ting bagi kami adalah memastikan semua stokis kami berjaya, saya yakin jika mereka berjaya, kami pun akan turut berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Rasmi Stokis Summerfield di sini baru-baru ini.

Buat masa ini, menurut Johannis Al-Arif, Summerfield mempunyai 31 stokis berdaftar di seluruh Semenanjung dan Singapura sekali gus boleh membantu mengembangkan jenama susu tersebut.

“Kami menyasarkan untuk memperoleh 100 stokis berdaftar seluruh negara menjelang penghujung tahun ini termasuk penambahan tiga atau empat lagi ejen jualan di Singapura. Selepas itu, kami akan mengembangkan lagi program stokis ini di Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Eksekutif Pembangunan Perniagaan HADC, Hanif Othman yang juga penyelia program stokis Summerfield memberitahu, projek tersebut telah dimulakan pada Mei 2018 dengan penyertaan lima stokis sahaja.

“Selepas itu, kita lihat peluang besar untuk terus memperkukuh­kan program ini termasuk mengiklankan di media sosial dan akhbar. Alhamdulillah, ramai pihak menyuarakan hasrat me­nyertai kami sebagai stokis. Bukan sahaja individu, malah ada juga agensi telah mula ‘mendekati’ untuk mendaftar.

“Atas dasar itulah kami akan terus menyediakan pelbagai insentif menarik buat stokis bagi mengalakkan dan menyuntik semangat mereka untuk berjaya. Kita juga bersikap telus tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat kepada mereka. Itu yang membuatkan ramai tertarik menjadi stokis,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang peniaga, Baharin Samad, 54, yang baru sebulan mendaftar sebagai stokis Summerfield berasa teruja dengan sokongan berterusan yang diberikan HADC setakat ini.

Dia yang berasal dari Tanjung Malim, Perak itu juga sudah mula menyusun strategi perniagaan dengan bantuan HADC bagi menghadapi Ramadan.

“Sebelum ini, saya juga pernah menjadi stokis produk tenusu lain, namun bila dapat tahu Summerfield juga mencari stokis, saya terus tertarik dan membuat keputusan mendaftar selepas merasai sendiri keenakan susu yang dihasilkan Summerfield,” ujarnya.