Pengerusi SPNB Mesra Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, projek prumahan mampu milik untuk peneroka Felda generasi kedua itu akan dibina di Felda Chalok Barat di Setiu dan Felda Kerteh 6, Kemaman.

“Sebanyak 60 unit akan dibina di Felda Chalok Barat, manakala 90 unit di Felda Kerteh 6,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan bengkel latihan yang memberi tumpuan untuk me­nerima pakai AGIBS di Ajiya Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata, 150 unit perumahan itu adalah sebahagian daripada 20,000 unit perumahan yang akan dibina untuk peneroka Felda me­lalui satu memorandum persefahaman yang ditandatangani di antara SPNB dan Ajiya Berhad, sebuah syarikat yang terlibat di dalam pembuatan dan pembekalan bahan pembinaan pada 14 Julai lalu.

Mohamed Hasnan berkata, AGIBS adalah satu Sistem Ba­ngunan Berindustri dipatenkan yang menyediakan penyelesaian bangunan penuh bersepadu dan lestari bagi industri pembinaan bagi mengatasi masalah tenaga kerja, memendekkan masa pembinaan dan mengurangkan kos operasi.

Dengan mengguna pakai AGIBS, pembinaan projek perumahan akan dapat disiapkan dalam tempoh lapan bulan berbanding purata projek perumahan konvensional, dengan tempoh pembinaan sehingga 24 bulan.

Mengenai bengkel hari ini, Mohamed Hasnan berkata, 18 kontraktor yang berdaftar de­ngan SPNB menyertai bengkel sehari untuk mendapat pemahaman yang baik tentang AGIBS.

Beliau berkata, kebanyakan kontraktor terlibat datang dari negeri yang mempunyai paling banyak penempatan Felda iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang. – BERNAMA