Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, permohonan pinjaman meningkat 4.1 peratus kepada RM477.5 bilion dan kelulusan pinjaman meningkat ketara iaitu sebanyak 11.2 peratus kepada RM212.2 bilion.

Sementara itu, kelulusan pinjaman kepada perniagaan kembali pulih sebanyak 10.4 peratus kepada RM86.9 bilion dan pengeluaran pinjaman meningkat 14.3 peratus kepada RM416.4 bilion.

“Sektor pembuatan merupakan penerima terbesar pinjaman iaitu 19.4 peratus diikuti oleh sektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel (18.7 peratus).

“Pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan kukuh dengan pengeluaran pinjaman meningkat sebanyak 13.4 peratus kepada RM160.7 bilion berbanding RM141.7 bilion bagi tempoh sama 2016. Bagaimanapun, terdapat kemerosotan terhadap permohonan dan kelulusan pinjaman PKS,” jelas laporan itu.

Tambah laporan itu, ringgit serta kebanyakan mata wang utama dan serantau mengukuh berbanding dolar AS dalam tempoh lapan bulan pertama 2017.

Jelasnya, peningkatan tersebut didorong oleh kemasukan semula aliran dana bukan pemastautin ke pasaran kewangan Malaysia berikutan keadaan makro ekonomi domestik yang menggalakkan.

Jelas laporan itu lagi, langkah yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) pada Disember 2016 dan April 2017 turut menyokong sentimen ringgit yang positif.

“Antara langkah yang diumumkan adalah menggalakkan lindung nilai pertukaran mata wang asing dalam pasaran domestik dan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF). Selain itu, keperluan penukaran hasil eksport daripada mata wang asing kepada ringgit serta peningkatan liberalisasi pasaran bon turut menyumbang kepada prestasi positif ini.

“Sejak Januari hingga akhir Ogos 2017, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar AS,” jelas laporan itu.

HABIS….