Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, jumlah itu me­nunjukkan kebanyakan simpanan rakyat Malaysia disimpan dalam bentuk FD berbanding dila­burkan ke dalam pasaran modal.

Katanya, sehubungan itu Bursa Malaysia mahu menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur dalam pasaran modal bagi me­ningkatkan nilai simpanan mereka pada masa hadapan.

“Kadar faedah bagi FD di Malaysia berlegar sekitar 3.35 peratus selama 12 bulan. Sebagai sebahagian daripada peruntukan aset yang berhemat, adalah dinasihatkan untuk mempelbagaikan portfolio kewangan atau aset anda.

“Pasaran modal bukan sahaja saluran yang berdaya maju bagi pelaburan tetapi ia juga memberi peluang untuk mengembangkan nilai simpanan tersebut dalam persekitaran yang terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penyertaan pe­labur runcit atau pelabur individu di pasaran modal Malaysia ketika ini adalah sebanyak 22 peratus dan setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 1.9 juta akaun Sistem Depositori Pusat individu telah didaftarkan di Bursa Malaysia.

“Jika dilihat kepada populasi di negara ini, terutamanya dengan peningkatan demografi golongan milenial, sudah tentu terdapat banyak peluang bagi meningkatkan penyertaan pelabur runcit di pasaran modal,” katanya.

Tajuddin berkata, kaji selidik yang dijalankan oleh Bursa Malaysia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia cenderung me­ngaitkan pelaburan dalam pasaran saham sebagai rumit dan berisiko tinggi serta memerlukan modal permulaan yang tinggi untuk memulakan pelaburan.

Untuk itu katanya, sebagai inisiatif menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia dalam pasaran modal, Bursa Malaysia turut memperkenalkan kempen “Invest Bursa, Invest in You” yang akan dijalankan sepanjang 2019.

“Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan penyertaan runcit di pasaran modal melalui program pendidikan dan pengetahuan yang meluas, serta inisiatif untuk menarik dan memudahkan kemasukan awal ke dalam pasaran modal,” katanya.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menjadikan keseluruhan proses bagi rakyat Malaysia untuk menjadi pelabur dalam pasaran saham sebagai satu per­kara yang mudah,” katanya.