Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, projek pembangunan tersebut terdiri daripada 187 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 20’ x 70’ dengan kawasan binaan seluas 2,001 kaki persegi dan ke atas.

Katanya, semua rumah yang dibina dalam projek Elmina Green merupakan pemilikan bebas dan ditawarkan pada harga bermula daripada RM683,888 sebelum diskaun bumiputera dan rebat, serta dijangka siap pada Oktober 2019.

“Sebagai pemaju hartanah moden, Sime Darby Property berusaha untuk menjadi syarikat yang mementingkan komuniti, kawasan kejiranan dan rumah yang mempunyai nilai dan memberi makna kepada kehidupan pelanggan kami. Konsep ini yang syarikat terapkan dalam pembangunan fasa pertama Elmina Green,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Elmina Green merupakan kediaman yang mempunyai susun atur pelan terbuka menggabungkan ruang tamu, ruang makan dan dapur untuk mengoptimumkan penggunaan ruang dan memudahkan pergerakan, menjadikannya rumah yang ideal untuk kehidupan bertaraf tinggi.

“Ia juga merupakan sebuah hartanah yang dilengkapi dengan ciri-ciri kelestarian dan kesihatan, seperti penggunaan bahan pene­bat untuk menyediakan suhu dalaman yang menyenangkan serta dilengkapi tingkap besar untuk membolehkan pengudaraan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, penduduk Elmina Green akan menikmati akses ke taman tasik seluas 8.5 hektar untuk aktiviti rekreasi dan sosial yang turut dilengkapi dengan trek berbasikal dan jogging bagi gaya hidup sihat dalam persekitaran yang selamat.

Fasa 1 Elmina Green terletak di pusat koridor Guthrie yang meng­hubungkannya dengan kawasan Damansara, Klang, Subang Jaya dan Shah Alam.