Sehingga hari ini, syarikat kereta iaitu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan BMW Group Malaysia telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk kesemua model mereka pada 1 Jun.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, harga baharu itu kekal sehingga pelaksanaan semu­la cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan.

Katanya, dengan stok yang terhad, pelanggan perlu mengambil kesempatan ini untuk menempah sekarang supaya dapat menikmati harga tanpa GST serta promosi Raya yang sedang berjalan.

“Varian Polo misalnya akan dikurangkan harga kepada RM72,488 berbanding RM76,888 manakala Vento Highline penjimatan sebanyak RM5,400 de­ngan harga baharu RM88,488 berban­ding RM93,888 sebelum ini.

“Harga Jetta Highline termasuk GST iaitu RM128,990 akan berkurangan kepada RM121,488; Passat Comfortine (RM179,990 kepada RM169,488) dan Beetle Sport (RM 147,888 kepada RM 139,488),” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT), K. Ravindran berkata, pihaknya akan memastikan segala manfaat daripada struktur cukai baharu akan diserahkan sepenuhnya kepada para pelanggan.

“Sebarang semakan harga akan dipertimbangkan demi kepenti­ngan para pelanggan kami,” katanya yang walau bagaimanapun tidak menyiarkan perbezaan harga buat masa ini.

Meskipun begitu, menurut sumber industri, model Toyota Vios 1.5J M/T misalnya yang ketika ini berharga RM74,980 akan menurun kepada RM70,752 penjimatan kira-kira RM4,228. Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge daripada RM540,800 akan berkurang kepada RM510,343 turun sebanyak RM30,457.

Selain itu, bagi model Lexus LS500h Executive yang berharga RM1.46 juta turun kepada RM1.38 juta, penjimatan se­ba­nyak RM82,328.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, model 118i Sport yang berharga RM176,800 akan dikurangkan kepada RM166,808.87 untuk Semenanjung.

“Varian 330e M Sport pula daripada RM258,800 akan dikurangkan harga kepada RM244,192.21 sementara BMW i8 berharga RM1.23 juta kepada RM1.16 juta selepas pemansuhan GST.

“Harga MINI Amplified Edition ketika ini bagi Semenanjung ialah RM248,888 dan apabila sifar GST ialah RM234,841.26 sementara harga model itu di Sabah dan Sarawak pula akan diturunkan daripada RM252,043.50 kepada RM237,816.76,” katanya.