Pada tahun 2016, pengimportan gandum adalah pada anggaran 1.7 juta tan metrik (MT), bijirin jagung pada 3.45 juta MT dan soya pada 1.4 juta MT. Penggunaan beras pula berada pada tahap 2.75 juta MT (1.6 juta MT dari bekalan beras domestik manakala 1.15 juta tan metrik diimpot).

Walaupun beras kekal sebagai makanan utama rakyat Malaysia, harus diambil perhatian bahawa trend peningkatan penggunaan bijirin seperti gandum semakin meningkat berbanding beras.

Secara am, peningkatan penggunaan komoditi ini adalah sebanyak 60 peratus dari tahun 2008 ke 2017. Ini berbanding dengan peningkatan penggunaan beras pada 10 peratus pada tempoh yang sama.

Oleh kerana Malaysia tidak menghasilkan bijirin, ia bergantung sepenuhnya kepada pengimportan bijirin dari Australia, Amerika Syarikat, Ukraine, Kanada, Rusia, India dan negara lain untuk memenuhi permintaan pengguna Malaysia.

Namun, situasi kebergantungan 100 peratus kepada import komoditi bijirin-bijirin ini harus dipantau untuk memastikan negara tidak mengalami masalah kekurangan bekalan dan rantaian bekalan komoditi bijirin ini tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimanakah ekosistem serta rantaian bekalan bijirin di Malaysia?

Pengimportan ketiga-tiga bijirin ini dipegang oleh pengilang-pengilang di Malaysia, yang menguasai rantaian bekalan bijirin. Walau bagaimanapun penguasaan sebahagian besar rantaian bekalan ini dipegang oleh beberapa pengilang yang dipunyai oleh sekumpulan kecil syarikat-syarikat gergasi.

Proses pengimportan komo­diti ini pula harus diteliti untuk memahami sama ada terdapat satu proses kawal selia dan pemantauan untuk memastikan pengimportan ini tidak membawa kerugian kepada negara.

Dari maklumat yang diperoleh, walaupun proses pengimportan komoditi ini melibatkan penghantaran secara terus ke Malaysia dari negara pengeksport, namun pesanan dari negara pengeksport dibuat melalui Singapura.

Proses ini menimbulkan persoalan berikut:

Mengapakah pesanan komoditi ini dibuat melalui Singapura?

Mungkinkah pihak yang membuat pesanan dari Singapura itu merupakan sebuah “Trading House” yang mewakili pengilang-pengilang Malaysia? Sekiranya situasi ini tepat, maka pengimportan bijirin Malaysia sebenarnya dijalankan oleh “Trading House” Singapura. Ini bermakna invois oleh negara pengeksport sudah pasti dikeluarkan dan dikemukakan kepada “Trading House” Singapura yang kemudiannya akan menghantar invoisnya pula kepada pengilang-pengilang Malaysia.

Daripada hipotesis ini, negara manakah sebenar­nya yang dianggap negara pengimport?

Walaupun bijirin dihantar terus ke Negara Malaysia, namun transaksi dijalankan oleh Singapura untuk memenuhi permintaan pengilang-pengilang Malaysia. Adakah ini bermakna pengimportan komoditi-komo­diti yang semakin penting ini, terletak di tangan “Trading House” Singapura?

Kenapa transaksi harus melalui Singapura?

Mungkin kerana Singapura adalah sebuah hab perkapalan dan perdagangan komoditi yang mempunyai rejim cukai rendah. Mungkin juga kerana pengilang-pengilang Malaysia ini (atau wakil-wakil mereka) juga mempunyai ‘trade office’ di Singapura, bagi tujuan memperolehi kadar cukai korporat yang rendah (dianggarkan pada kadar 10% atau lebih rendah) berbanding kadar cukai korporat 25% di Malaysia.

Jika ini situasinya, besar kemungkinan harga komoditi yang diinvois oleh negara pengeksport ke Singapura adalah pada harga yang lebih rendah berbanding harga yang diinvois oleh Singapura kepada pengilang Malaysia. Ini kerana kos logistik, pengurusan, pemasaran serta membentuk jalinan rangkaian perniagaan dengan negara-negara pengeksport sudah pasti diserapkan juga ke dalam harga komoditi yang diinvois kepada pengilang Malaysia. Mungkinkah situiasi ini memberi penjelasan mengapa harga komoditi gandum, contohnya, yang diimport ke Malaysia tidak menurun seiring dengan penurunan harga global.

Pemahaman senario yang dinyatakan di atas, mungkin lebih jelas melalui gambaran berikut yang merangkumi kesemua bijirin:

# Memandangkan analisis RAJAH 1, persoalannya, benarkah kebanyakan pengilang dikuasai oleh beberapa syarikat terhad yang sama? Adakah syarikat-syarikat ini juga menguasai atau berkait dengan “Trading House” di Singapura?

Daripada penyelidikan yang dijalankan, sekumpulan pengilang terhad merupakan pengimport utama komoditi bijirin ini dan menguasai rantaian bekalan. Memandangkan perkara ini, sudah pasti sukar untuk pihak lain mengimport komoditi ini kerana besar kemungkinan sekumpulan pengilang ini tidak akan membeli bijirin yang diimport oleh pihak lain.

Proses dan rantaian pengimportan ini mungkin membawa keuntungan atau dianggap lebih efisyen oleh pengilang yang terlibat. Namun, jika diambil kira huraian di atas, proses ini boleh dianggap tidak efisyen dari perspektif pengguna dan negara.

Ini adalah kerana, secara ringkas, proses pengimportan melalui Singapura ini mengakibatkan kenaikan harga gandum di Malaysia berbanding harga yang dibayar oleh “Trading House” di Singapura. Selain kerugian kepada ekonomi negara, sudah pasti kenaikan kos ini diterjemahkan sebagai kenaikan harga produk pengguna.

# Jadi apakah penyelesaiannya?


Mungkin kita wajar mencontohi negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi, Indonesia dan Qatar yang mengamalkan konsep “Pengimport Berpusat” atau Central Importer bertujuan untuk mengawal pembekalan komoditi tertentu di negara mereka disamping memastikan “Food Security” komoditi berkenaan, terjamin.

Di samping itu konsep ini juga bakal memastikan harga komoditi berkenaan dapat dikawal dan dikurangkan, berbanding situasi pengimportan bijirin di Malaysia.

Memandangkan situasi ini, mungkin secara keseluruhan pengguna dan negara bakal mendapat manfaat yang cukup besar sekiranya kerajaan mengambil langkah memperkenalkan konsep Pengimport Berpusat ini melalui kerjasama awam-swasta serta memperkenalkan peraturan tertentu untuk memantau ekosistem dan rantaian bekalan komoditi bijirin di Malaysia.