Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Setel, Iskandar Ezzahuddin berkata, Setel memberi pe­nga­laman pembelian bahan api yang mudah, lancar dan lengkap yang direka khas dan diintegrasikan terus ke pam bahan api.

Menurutnya, peningkatan fungsi penebusan mata ganjaran tersebut merupakan langkah lanjut Setel untuk mengintegrasikan aspek-aspek pengisian bahan api ke dalam satu platform tunggal.

“Dengan ciri baharu ini ia sekali gus meningkatkan penga­laman dan keselesaan pelanggan di stesen Petronas. Ciri baharu ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Setel sebagai penyedia pengalaman peruncitan digital yang mudah memandangkan program kesetiaan Mesra terus menjadi pilihan ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Iskandar, pelanggan perlu memautkan dan meng­aktifkan kad Mesra mereka di aplikasi Setel untuk penebusan mata ganjaran Mesra.

Katanya, pelanggan boleh menebus RM1 untuk setiap 100 mata ganjaran yang akan ditambah kepada baki dompet Setel.

“Nilai kredit ini boleh digunakan untuk membeli bahan api dengan serta-merta. Selain itu, pelanggan juga diberi pilihan untuk menetapkan mata ganjaran yang ingin ditukarkan kepada kredit untuk menebus bahan api pada bila-bila masa di stesen Petronas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berkata, integrasi Setel dan Mesra pada satu platform mewakili satu lagi pencapaian besar bagi Petronas dalam memahami keperluan pelanggan serta membolehkan pelanggan untuk Move Like Never Before.

“Selari dengan perkemba­ngan rangkaian peruncitan PDB, ciri-ciri baharu seperti ini memainkan peranan penting untuk menjana minat pelanggan de­ngan menawarkan pembayaran bahan api serta penebusan mata ganjaran kesetiaan yang paling mudah dalam industri peruncitan bahan api,” katanya.

Setel boleh didapati secara percuma daripada iOS dan Android melalui App Store dan Google Play dan boleh digunakan di 277 stesen Petronas di Lembah Klang.