Ketua Pegawai Eksekutif B&D Malaysia Sdn. Bhd., Audrey Chia berkata, berdasarkan Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Malaysia yang dijalankan oleh Dun & Bradstreet (B&D), BOI suku kedua 2019 jatuh kepada 5.61 mata peratusan berbanding 8.92 mata peratusan yang dica­tatkan suku sebelumnya.

Sementara itu bagi tahun ke tahun, BOI suku kedua 2019 jatuh kepada 5.61 mata peratusan daripada 12.58 mata peratusan pada suku sama tahun sebelumnya.

“Tinjauan keseluruhan te­lah merosot untuk suku kedua 2019 disebabkan oleh permintaan luar negeri yang lemah, pelaburan awam yang lebih rendah dan pertumbuhan perlahan di China.

“Tinjauan dalam kalangan sektor perkilangan, pembinaan dan borong juga menunjukkan penurunan. Bagaimanapun sentimen dalam sektor perkhidmatan dan kewangan akan kekal berdaya tahan di sokong oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

BOI yang dikeluarkan B&D merupakan ukuran keyakinan perniagaan dalam ekonomi dan ia dikeluarkan setiap suku tahun berdasarkan tinjauan sentimen perniagaan yang direka untuk mengenal pasti jangkaan perniagaan dan merupakan satu daripada cara yang paling berkesan menjejaki bagaimana komuniti perniagaan melihat persekitaran perniagaan.

Tambah Chia, sektor perkhidmatan, pengangkutan dan kewa­ngan lebih optimis mengenai prospek manakala sektor perdagangan borong, pembinaan dan perkila­ngan paling kurang optimistik.

Katanya, secara keseluruhan hanya satu daripada enam petunjuk mencatatkan peningkatan suku ke suku pada suku kedua 2019 iaitu harga jualan yang mencatatkan peningkatan daripada 2.94 mata peratusan pada suku pertama 2019 kepada 6.83 mata peratusan pada suku kedua.

“Manakala petunjuk-petunjuk lain seperti jumlah jualan dan keuntungan bersih masing-masing turun kepada 6.83 mata peratusan dan 1.95 mata peratusan pada suku kedua 2019 berbanding 7.06 mata peratusan dan 8.82 mata peratusan suku sebelumnya.

“Tempahan baharu juga merosot daripada 15.88 mata peratusan pada suku pertama 2019 kepada 10.24 mata peratusan dan paras inventori juga menyederhana daripada 8.82 mata peratusan kepada 4.39 mata peratusan pada suku ke­dua 2019,” katanya.