Pengarah Serantau Asia Tenggara & Asia Selatan Majlis Pemba­ngunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC), Peter Wong berkata, Malaysia memiliki pelbagai aspek yang berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi terutama dalam sektor infrastruktur se­perti kesanggupan kerajaan untuk bekerjasama dengan pelabur asing.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dan itu me­rupakan antara aspek penting sebelum faktor-faktor lain diambil kira.

“HKTDC berpendapat lebih baik merebut peluang yang ada. Contohnya apabila kami membuat keputusan untuk datang ke Malaysia kami telah berjumpa dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan badan-badan berkaitan untuk mendapatkan sendiri pandangan daripada mereka.

“Maklum balas yang diberikan sangat positif dan kami tidak bimbang berada di sini kerana yakin kerajaan komited untuk mempertingkatkan ekonomi negara. Cara ini lebih baik berbanding menilai Malaysia berdasarkan kepada laporan pihak ketiga yang akhirnya membawa ke­pada keputusan yang tidak tepat,” katanya dalam sidang akhbar Forum Hong Kong Dalam Pembangunan Bandar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Urusan Ho & Partners (hpa), Nicolas Ho; Pengarah Negara Malaysia AECOM, Patrick Wong dan Ketua Pegawai Operasi Big Data Architect Limited, Peter Kwan.

Tambah Wong, kehadiran penyedia-penyedia perkhidmatan infrastruktur Hong Kong ke rantau ASEAN didorong oleh peluang pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Katanya, negara seperti Thailand, Indonesia, Fi­lipina, Vietnam dan Malaysia telah memiliki pelan induk sendiri yang mahu menambah baik daripada aspek jaringan perhubungan.

“Negara-negara ini mendapati mereka masih lagi kekurangan dari segi infrastruktur dan berpendapat ia harus dipertingkatkan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan. Majoriti syarikat dari Hong Kong melihat keperluan tersebut sebagai peluang perniagaan yang tidak harus dilepaskan.

“Hong Kong telah lama memberikan perkhidmatan berkualiti kepada ASEAN dan akan terus menjadi platform untuk pelbagai projek kerjasama infrastruktur,” jelasnya.