Indeks pasaran FBM KLCI berjaya membolosi paras sokongan 1,600 mata. Dengan kejatuhan indeks pasaran Amerika Syarikat (DJIA) sebanyak 617.38 mata pada 13 Mei, semalam kita menyaksikan indeks FBM KLCI jatuh 27 mata kepada 1572.03 mata yang merupakan paras te­rendah tahun ini.

Keadaan ini bukan sahaja disebabkan kesinambungan fenomena sell in May and stay away sepanjang bulan ini tetapi banyak isu-isu luaran dan dalaman yang menjurus kepada kejatuhan ini.

Isu perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China belum temui jalan penyelesaian serta mata wang negara yang masih tidak menampakkan sebarang pengukuhan berbanding dolar AS menjadi faktor pemangkin negatif yang sentiasa memberi kesan ke atas sentimen pasaran.

Buat masa ini, tiada sebarang pemangkin positif yang akan menolak indeks pasaran naik semula. Pasaran masih ketiadaan minat belian daripada pelabur asing dan kurangnya kemasukan dana daripada institusi tempatan.

Pelabur dan pedagang perlu menerima hakikat sentimen pasaran sehingga hujung tahun ini agak suram.

Mereka perlu mempunyai kesabaran apabila membeli ­saham sepanjang tahun ini kerana ­kemungkinan pegangan saham dalam portfolio mengambil masa lebih lama untuk naik.

Walaupun begitu, terdapat rally kenaikan kecil yang akan berlaku sepanjang tempoh ini. Sekali lagi pelabur dan pedagang saham perlu bersedia menghadapi sentimen hujung tahun seperti biasa.

Sentimen pasaran pada hujung tahun merupakan proses penurunan yang agak lama dan sekiranya terdapat apa-apa faktor negatif akan menyebabkan pasaran jatuh lebih banyak. Proses untuk pulih atau naik ­semula mungkin mengambil masa lebih lama.

Untuk menjadi pelabur atau pedagang saham yang berpengalaman dan bijak, kita perlu menghadapi apa jua keadaan pasaran. Banyak garis panduan di ruangan ini untuk membim­bing pelabur dan pedagang saham menghadapi turun naik pasaran setiap hari.

Berehat seketika

Semasa pasaran berada dalam suasana kurang aktif dan aliran menurun yang panjang, pelabur boleh berehat seketika daripada memasuki pasaran sebagai jalan mendisiplinkan diri. Pelabur boleh mengambil tindakan tunggu dan lihat sekiranya merasa was-was atau tidak pasti hala tuju pasaran.

Dengan mendisiplinkan diri atau bertahan daripada memasuki pasaran semasa dalam keadaan tidak pasti atau mengalami tempoh penurunan panjang, ia dapat mengawal emosi dan modal pelaburan.

Pelabur boleh mengawal pengeluaran modal atau simpanan baharu jika melihat iklim pasaran belum menunjukkan tanda-tanda kembali pulih atau pasaran naik semula.

Pelabur boleh memasuki pasaran hanya ketika ia menunjukkan tanda-tanda akan pulih atau pasaran berubah kepada trend menaik sekiranya tidak mahu memegang saham untuk tempoh lama.

Berapa lama pasaran akan mengambil masa untuk pulih sekiranya tiada pemangkin positif bergantung kepada faktor-faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi pergerakan di samping asas ­fundamental syarikat tersenarai.

Pelabur dan pedagang saham perlu mengambil tahu berita-berita utama semasa termasuk juga perkembangan pasaran dan ekonomi dunia.

Bahkan, mereka turut dinasihatkan merujuk pada carta pergerakan saham serta asas fundamental sesebuah syarikat tersenarai sekiranya ingin membeli, menjual mahupun cut loss saham-saham yang dirasakan tidak perlu disimpan.

Jangan mengambil tindakan atau keputusan terburu-buru tanpa membuat penyelidikan atau kajian saham-saham yang ingin dijual. Banyak kes berlaku yang mana pelabur dan pedagang saham merasa panik ketika pasaran jatuh.

Ada yang telah menjual pegangan saham mereka walhal tidak menyedari saham-saham yang mereka pegang itu merupakan saham yang mencapai harga terendah dalam sejarah syarikat tersebut.

Dan, apabila pasaran me­ngalami pantulan teknikal, saham yang dijual itu kembali pada harga asal dibeli dan kemudiannya naik melebihi harga belian. Sehubungan itu, setiap tindakan yang dibuat tanpa emosi dan tidak disertakan dengan ilmu pelaburan amat me­rugikan.