Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, Sultan Johor bertitah demikian kepadanya semasa menghadap baginda dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurut Osman, kerajaan negeri akan melakukan proses pengauditan itu dalam masa terdekat bagi mengesan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urus tadbir syarikat.

“Sebuah firma audit bebas dari luar akan digunakan bagi melakukan kerja-kerja audit terhadap GLC yang diberi tumpuan seperti Johor Corporation (JCorp) dan YPJ Holdings.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk melakukan proses tersebut, buat permulaan kita akan mulakan dengan dua hingga tiga GLC terlebih dahulu. Tumpuan utama diberikan kepada GLC yang besar seperti JCorp dan YPJ Holdings,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor di Bandar Baru Uda di sini malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan merangkap Pre­siden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama negeri merangkap Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Osman berkata, mengenai Jcorp, pihaknya sudah mengetahui konglomerat itu menanggung hutang RM1.3 bilion dan dalam perjanjian akan menyelesaikan hutang itu pada 2022.

“Melalui audit itu, kita hendak tahu sejauh mana hutang itu sampai begitu besar jumlahnya. Begitu juga dengan YPJ Holdings, aset yang kita berikan begitu besar untuk diniagakan tetapi kenapa sebahagian besar anak syarikat mengalami kerugian.

“Kita lihat ada juga pegawai yang bergaji besar, ini antara lain menyahut seruan Perdana Menteri juga untuk lihat semula GLC,” ujar Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kempas itu.

Mengenai permintaan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu meletakkan wakil dalam kepimpinan GLC di negeri ini, Osman berkata perkara itu hanya dapat dilaksanakan apabila keadaan syarikat mulai stabil.

“Kalau hendak meletakkan ahli parti menerajui GLC, kita tidak mampu hendak bayar gaji dan elaun. Apabila kita dapat stabilkan syarikat-syarikat (GLC), saya berjanji akan lantik untuk kita sama-sama duduk bagi memacu GLC di Johor,” katanya.