Mengambil contoh pelan rumah mampu milik kerajaan sebelum ini, Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen berkata, sasaran sejuta rumah adalah sukar malah jumlah yang dicapai kurang daripada 20 peratus.

Beliau memberi gred `D minus’ kepada pencapaian kerajaan terdahulu, memandangkan 100,000 unit adalah lebih praktikal dari segi pembangunan.

Katanya, dasar perumahan yang strategik diperlukan dalam hal ini supaya tidak meletakkan beban sepenuhnya kepada sektor swasta kerana ia akan menyebabkan subsidi silang untuk golongan sederhana (M40).

“Kerajaan tidak boleh hanya mahu memenangi hati golo­ngan berpendapatan rendah (B40). Apa yang akan berlaku kepada M40? Jika terdapat terlalu banyak subsidi silang maka M40 akan menderita dan mereka juga tidak akan dapat membeli rumah.

“Lembah Klang diakui makin padat, tetapi masih ada banyak bank tanah di negeri-negeri lain, justeru, kerajaan negeri seharusnya membantu dengan menawarkan tanah mereka,” katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik - Malaysia CBRE WTW 2019 di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan permulaan 100,000 unit kediaman setiap tahun.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, rumah tersebut akan dibina mulai tahun ini dan ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, Gee Jen berkata, kerajaan negeri perlu memastikan rumah mampu milik dibina di lokasi yang tepat kerana tidak mahu kes seperti di Bukit Beruntung yang mempunyai lambakan rumah kos rendah dibina, namun tidak mendapat sambutan akan berulang.

“Apa yang berlaku sebelum ini, setiap wakil rakyat mahu menjadi juara dalam kalangan pengundi dengan membina rumah mampu milik di kawasan Parlimen masing-masing, namun malangnya tiada infrastruktur yang lengkap menjadikan rumah dibina tidak mendapat sambutan,” katanya,

Berdasarkan laporan Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik - Malaysia itu, pasaran hartanah secara keseluruhan dijangka berkembang tahun ini tetapi akan terus menghadapi cabaran dalam semua sektor.