Selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau bekerja secara sambilan di kedai runcit untuk mendalami selok-belok perniagaan di samping menampung perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran.

Setelah mena­mat­kan pe­ngajian di Universiti Put­ra Malaysia (UPM) dalam Ijazah Sains Perniagaan Tani, Rosli menu­buh­kan perniagaan sendiri pada 1990 sebagai kontraktor awam dengan modal kira-kira RM5,000 hasil simpanan sendiri dan pinjaman daripada keluarga serta rakan-rakan.

“Selepas tamat belajar saya tidak pernah bekerja makan gaji. Bermula sebagai kontraktor awam dan kemudian memfokuskan kepada kerja-kerja kalis air, lapisan gelanggang sukan serta tangki air dengan bahan.

“Bagaimanapun, kejatuhan ringgit daripada RM2.70 kepada RM3.80 ketika krisis kewangan 1998 menyebabkan saya kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk satu kontena. Ketika itu, terdetik di hati saya untuk menghasilkan produk dengan jenama sendiri yang sesuai dengan iklim Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Rosli, Bina Integrated memperkenalkan cat jenama Bina Paint pada 2009. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) cat mengambil masa selama tiga tahun bermula 2006 dengan dibantu oleh penyelidik universiti awam tempatan.

Skop pasaran Bina Paint lebih besar jika dibandingkan dengan produk kalis air kerana setiap bangunan yang baharu dibina atau selesai dibaik pulih memerlukan cat untuk kerja-kerja kemasan dan dekorasi. Selain itu, proses pengeluaran cat adalah lebih mudah.

“Kami lebih tertumpu pada projek-projek komersial selain memfokuskan jualan di kedai-kedai perkakasan. Banyak ba­ngunan telah menggunakan cat Bina Paint termasuk masjid, sekolah dan universiti.

“Kami turut memberikan khidmat nasihat kepada pengguna dan kontraktor daripada aspek kuantiti penggunaan cat serta konsultasi warna supaya pelanggan mendapat gambaran bagaimana warna yang dipilih akan digunakan pada bangunan atau projek,” katanya.

Tambah Rosli, pihaknya mengalu-alukan kontraktor ke­cil dan sederhana untuk me­nyertai Bina Applicator Program yang menyediakan khidmat latihan.

“Kami diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk me­latih kontraktor membuat kerja-kerja kalis air dan gelanggang sukan. Di samping dapat menambah mata CIDB, mereka juga akan menikmati pelbagai tawaran menarik daripada Bina Paint.

“Bina Paint merupakan jenama cat patuh syariah pertama di Malaysia. Keunikan cat ini telah menarik minat pelbagai pihak untuk menggunakannya di samping kualitinya yang setanding dengan cat jenama antarabangsa,” ujarnya.

Setelah hampir 28 tahun berniaga, Rosli kini boleh bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi apabila memiliki kilang memproses produk de­ngan dibantu oleh 37 kakita­ngan serta lebih 100 pengedar di seluruh negara selain mempunyai cawangan di Kedah, Pahang dan Kelantan bagi memudahkan urusan pengedaran.

Mengenai cabaran perniagaan yang dihadapi, Rosli memberitahu produk keluaran bumiputera sukar untuk dijual di kedai perkakasan milik bukan bumiputera. Mengakui agak kecewa dengan keadaan itu, beliau tidak berputus asa sebaliknya merangka strategi terbaik untuk terus bersaing.

Menggunakan ‘nilai’ yang terdapat pada Bina Paint ter­nyata berjaya menambat hati pengguna apabila produknya mendapat permintaan tinggi di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.

Bina Integrated menerima pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 daripada SIRIM pada 2017. Ini memerlukan pihaknya sentiasa menitikbe­ratkan pematuhan dalam setiap bahagian syarikat termasuk aspek kewangan, pengurusan, sumber manusia, pemasaran dan bahan mentah yang digunakan.

Kejayaan Bina Integrated turut dibantu menerusi galakan dan bantuan yang diterima daripada pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Corp. dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Mengenai perancangan untuk menembusi pasaran eks­port, Rosli berkata, hasrat itu sedang diusahakan bagi mencari potensi dan rangkaian pengedaran terbaik dalam bidang pembinaan dengan mengikuti program Perbadanan Pemba­ngunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sehingga ke Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, India dan Turki.

Menurut Rosli, usahawan bumiputera perlu merebut peluang dalam setiap program atau geran yang disediakan oleh kerajaan.

“Para usahawan perlu merujuk kepada pihak yang lebih arif supaya tahu arah mana yang harus dituju. Potensi untuk berkembang akan terbantut sekiranya menguruskan perniagaan secara bersendirian,” katanya.