Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, portal itu dibangunkan bagi mengu­bah cara permainan pemaju harta­nah di Malaysia yang sebelum ini membina sesuatu projek tanpa melibatkan pengguna akhir.

“Sebelum ini pemaju hartanah membina sesuatu projek perumahan dilengkapi dengan fasiliti seperti gimnasium, dewan serbaguna, kemasan lantai dan sebagainya tanpa memikirkan adakah ia sesuatu yang diperlukan oleh pengguna.

“Melalui DTO, pembeli yang berpotensi dapat turut terlibat sama dalam proses penciptaan (co-creation) sesuatu projek,” katanya pada Majlis Pelancaran DTO di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Sime Darby, Gerard Yuen serta Peng­asas DTO, Tee Ee Lynn dan Marie Leong.

Sementara itu Ee Lynn berkata, terdapat tiga fasa bagi satu projek yang dibuka untuk undian dalam talian oleh pelanggan di platform berkenaan.

Beliau berkata, untuk fasa pertama pelanggan boleh memilih penampilan bahagian lua­ran bangunan termasuk warna, corak jalan masuk dan nama bangunan.

“Fasa kedua adalah kemudahan umum seperti reka bentuk taman permainan, ruang kerja bersama, peralatan gimnasium manakala fasa ketiga adalah untuk unit dalaman yang terdiri dari­pada undian untuk pilihan me­ngenai jubin, kelengkapan seperti tombol pintu, paip pancuran air dan kemasan lantai,” katanya.

Sejajar dengan strategi baharu ini, Wan Hashimi berkata, Sime Darby Property akan me­lancarkan dua projek kediaman bertingkat tinggi berdasarkan undian majoriti di platform DTO di Subang Jaya yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

“Fasa penciptaan untuk projek pertama berlangsung antara Januari dan Mei tahun ini yang mana kita akan mengumpulkan undi orang ramai dan setelah selesai, kami akan menjualnya pada Ogos 2019,” katanya.