Kebiasaannya, sebagai newbie mereka menjangkakan suasana pasaran adalah sama dan tidak ketahui bahawa pasaran saham juga melalui beberapa musim. Di samping musim-musim tertentu yang telah diterangkan di dalam kolum-kolum yang lepas, pasaran saham mempunyai tiga trend. Trend tersebut ialah aliran menaik, menurun dan mendatar.

Ketiga-tiga trend ini boleh terjadi dalam masa beberapa hari, minggu, bulan mahupun tahun. Walau bagaimanapun trend jatuh atau naik bukan bermakna pasaran saham terus naik seperti satu garisan lurus. Begitu juga dalam aliran menurun.

Sekiranya terdapat aliran naik yang menegak dan aliran jatuh yang menjunam, keada­an ini terjadi disebabkan oleh manipulasi, jualan besar-besaran yang berterusan ataupun jualan panik. Contoh yang terbaik kenaikan dalam garis lurus ialah limit-up. Dan jika jatuh menjunam dipanggil ­limit-down.

Namun begitu, limit-up dan limit-down ini jarang berlaku. Sekiranya berlaku, ia terjadi ke atas beberapa saham syarikat tersenarai sahaja dan bukan ke atas semua saham tersenarai di Bursa Malaysia melainkan sewaktu krisis kewangan Asian 1997-1998 dahulu.

Kepentingan membaca atau mengetahui hala tuju pasaran ialah untuk mengurangkan kesilapan ketika membeli saham. Ataupun dalam kata mudah, kita dapat membuat perkiraan atau jangkaan berapakah tempoh masa yang diperlukan bagi seseorang pelabur atau pedagang saham membeli dan menyimpan saham tersebut untuk naik.

Sekiranya saham yang dibeli itu dibeli semasa sentimen pasaran lemah atau menurun, berapa lamakah waktu pasaran saham akan naik semula atau cergas semula untuk pelabur dan pedagang saham menjual saham mereka yang telah untung.

Justeru, mengenali atau membuat kajian tentang hala tuju pasaran agak penting selain daripada membuat kajian kaunter berpotensi naik yang menggunakan ilmu analisis teknikal dan fundamental.

Boleh dikatakan membuat kajian tentang sentimen pasaran merupakan perkara utama sebelum membuat kajian kaunter-kaunter berpotensi. Ia memberi garis panduan kepada pelabur dan pedagang agar dapat membuat jadual atau menyusun aktiviti pelaburan atau perdagangan saham seiring dengan tugas-tugas atau rutin seharian.

Pelabur dan pedagang saham dapat membahagikan waktu secara teratur walaupun melakukan aktiviti beli jual saham secara aktif. Sebagai contoh, sekiranya pelabur dan pedagang saham menjangkakan suasana pasaran lemah atau tidak menarik, pelabur dan pedagang boleh kurang melihat pergerakan saham, meletak pesanan jual beli terlebih dahulu sebelum meneruskan kerja-kerja rutin atau menangguhkan sementara waktu pembelian saham.

Selain itu juga, kepada yang telah tamat hadir seminar atau kursus pembelajaran saham juga dinasihatkan jangan terus masuk pasaran. Ambil masa untuk perhatikan turun naik pasaran untuk satu tempoh tertentu dan membuat pembacaan sendiri serta menambah lagi ilmu pengetahuan dengan membaca berita dan artikel tentang dunia saham.

Sentimen pasaran ini boleh jadi sukar diramal sepertimana yang berlaku pada pasaran saham selepas parti Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 baru-baru ini. Justeru, seharusnya newbie saham perlu tidak tergesa-gesa membuat pelaburan atau perdagangan saham ketika ketidaktentuan iklim pasaran masa kini.

Newbie saham tidak perlu khuatir kerana pasaran saham sentiasa ada. Sekiranya newbie saham telah mempunyai asas pengetahuan yang baik, boleh mendisiplinkan diri serta sentiasa membuat kajian saham terlebih dahulu, anda boleh masuk pasaran pada masa pasaran baik atau semasa pasaran cergas di dalam aliran menaik.

Pasaran saham dalam aliran menurun juga bukan kata tidak bagus untuk melabur tetapi biarlah ketika kejatuhan yang terendah ataupun kejatuhan tersebut akan mula memasuki fasa pemulihan. Ini ialah kera­na newbie saham tidak perlu menunggu lama untuk meraih keuntungan di pasaran saham lebih-lebih yang baru memulakan pelaburan atau perdaga­ngan saham.

Dengan keuntungan yang diperolehi tanpa menunggu terlalu lama, ia akan membuatkan newbie saham semakin bersemangat untuk meneruskan aktiviti beli jual saham dalam tempoh yang lama.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca di kawasan Utara yang ingin mempelajari tentang pelaburan dan pedagang saham boleh hubungi talian 013-3108156.