Bursa Malaysia pula susut 17.26 mata hingga jatuh di bawah paras 1,800 mata petang ini kepada 1,795.5 mata. Ia menyaksikan 703 kaunter rugi manakala 270 kaunter untung dan 362 kaunter tidak berubah.

Menurut Bloomberg, setakat tahun ini, ringgit menyusut 2.3 peratus berbanding negara serantau yang lain dengan menyaksikan peso menyusut 6.8 peratus manakala rupiah menyusut lebih sembilan peratus.

Mata wang rupiah mencecah serendah 14,933 berbanding dolar AS dalam dagangan pagi ekoran daripada krisis pasaran ekonomi baharu muncul yang menyebabkan rupiah mencecah paras lebih rendah berbanding ketika krisis kewangan Asia 1998. Peso pula menyusut kepada 53.6 berban­ding dolar AS, terendah sejak September 2004.

Malaysia adalah antara negara terawal di Asia yang menaikkan kadar faedah kepada 3.25 peratus pada Januari lalu.

Sebahagian besar penganalisis masih menanti langkah-langkah yang akan diambil Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam mengurangkan hutang negara yang melebihi RM1 trilion dan pendekatan kerajaan untuk me­ngawal bajet defisit pada pembentangan Bajet 2019 di Parlimen, 2 November ini.

Dalam laporan S&P Global Ra­tings (S&P) yang dikeluarkan hari ini bertajuk ‘Harapan Terhadap Malaysia Datang Dengan Pelbagai Persoalan Mengenai Sokongan Kredit Berdaulat’ menyatakan kesepaduan kerajaan Malaysia kekal menjadi keutamaan kepada para pelabur.

Penganalisis Kredit S&P, Kim Eng Tan berkata, persekitaran dasar yang stabil adalah satu daripada faktor penting yang mempengaruhi kepercayaan kredit berdaulat Malaysia di samping pres­tasi fiskal pada masa hadapan.

“Selain itu, kestabilan politik juga menjadi persoalan yang penting terutama setelah buat pertama kali parti komponen di bawah Pakatan Harapan meme­rintah negara.

Bahkan keupayaan pihak-pihak ini untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar tepat pada masanya juga belum teruji dengan berkesan.

“Ia melalui ujian paling besar apabila membuat lantikan politik walaupun sedikit lewat. Tetapi kami percaya ujian sebenar adalah dalam peralihan kepimpinan pada masa hadapan terutama membabitkan Perdana Menteri seterusnya,” katanya dalam laporan berkenaan.

Jelas laporan itu, birokrasi yang matang di Malaysia akan terus menjadi kunci utama kepada kestabilan negara sekiranya berlaku senario politik yang tidak menentu dan telah membantu negara mencatat prestasi ekonomi yang baik dalam tempoh dua dekad lalu.

“Tumpuan kerajaan terhadap tadbir urus mungkin mengambil sedikit masa sebelum ia mampu memberi manfaat kepada dasar dan persekitaran perniagaan di Malaysia. Bagaimanapun, jika ketidaktentuan politik berterusan, ia kemungkinan menjejaskan pelaburan baharu sekalipun tiada perubahan ketara dalam hala tuju dasar,” katanya.

BNM memberitahu, ekonomi negara dalam masa terdekat akan terus berdepan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat daripada ketegangan perdaga­ngan yang semakin ketara, prestasi lemah sektor perlombongan dan pertanian yang berlarutan serta ketidakpastian berhubung dengan beberapa dasar dalam negeri.

Katanya, ia akan menyaksikan pasaran kewangan negara terus mencatat aliran keluar portfolio bukan pemastautin berikutan per­kembangan global semasa se­jajar dengan perkembangan dalam ekonomi serantau.

“Bagaimanapun, pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan dengan keadaan kewangan dan monetari domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Asas-asas ekonomi dalam negeri terus mantap seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah dan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

“Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ketua Ekonomi AmBank Research, Anthony Dass, ringgit dijangka berlegar antara RM4.09 hingga RM4.13 berban­ding dolar AS sepanjang September ini di sebalik ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti.

“Ketidaktentuan dijangka berte­rusan sehingga akhir tahun ini disebabkan pelbagai isu yang masih membimbangkan ter­utama perang dagangan antara dua kuasa ekonomi dunia.

Keadaan ini kemungkinan bo­leh mendorong ringgit mencecah sehingga RM4.15 berbanding dolar AS. Bagi pasaran tempatan pula, diunjur antara 1,775 dan 1,887 mata sepanjang bulan ini dengan paras paling rendah sekitar 1,750 mata,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, lebihan akaun semasa mengecil dengan ketara kepada RM3.9 bilion pada suku kedua 2018 berbanding RM15 bilion pada suku sebelumnya, menjadikan ia lebihan terkecil sejak suku ketiga 2016 dengan sebahagian besar­nya disebabkan defisit berterusan dalam akaun perkhidmatan kepada RM6.2 bilion daripada RM5.8 bilion pada suku pertama 2018.