S. Veerinderjeet

Pengerusi Eksekutif Axcelasia Inc, Dr. S. Veerinderjeet berkata, mata wang tempatan itu dijangka berlegar sekitar RM4.20 berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mengukuh kepada RM4.10 pada tahun depan.

Katanya, dalam masa sama harga minyak mentah global yang diunjur berlegar pada AS$62 (RM259.38) setong pada 2018 akan memberi impak positif kepada ha­sil negara terutama dari segi cukai pendapatan petroleum dan royalti.

“Prestasi ringgit setakat ini tidak menunjukkan perubahan yang begitu ketara dan akan kekal stabil bergantung kepada banyak faktor termasuk aktiviti dagangan dan eks­port.

“Ini akan menjadikan ringgit lebih stabil dan mungkin boleh mencecah RM4.10 berbanding dolar AS pada tahun depan,” katanya selepas Seminar Tahunan Bajet 2018 di sini hari ini.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent berlegar pada AS$61.48 (RM257.20) setong manakala West Texas Intermediate (WTI) pada AS$55.12 (RM230.59) setong.

Pada pukul 9.01 pagi ini, ringgit diniagakan pada RM4.183 berban­ding dolar AS daripada RM4.1925 semalam.

Menurut Veerinderjeet, Malaysia masih dalam proses peralihan untuk melaksanakan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam usaha menarik lebih banyak pelabur asing (FDI) de­ngan menawarkan beberapa insentif cukai.

Sehubungan itu katanya, ia memerlukan beberapa pengubahsuaian kepada insentif tersebut memandangkan terdapat pematuhan yang tidak memenuhi amalan cukai antarabangsa.

“Jadi, akan ada beberapa perubahan kepada insentif cukai ini dan ia merupakan satu cabaran kepada pihak berkuasa bagaimana untuk membuat perubahan ini bagi memenuhi standard dan piawaian OECD,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, Yeah Kim Leng dalam sesi pembentangan berkata, sasaran Bajet 2018 untuk mencapai bajet defisit kepada 2.8 peratus mencerminkan kredit yang positif.