Pada pukul 6 petang, Ringgit berada pada 4.1110/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1130 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata Malaysia akan mengumumkan angka Indeks Harga Pengguna Jun manakala Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan data keluaran dalam negara kasarnya bagi suku kedua.

“Para pelabur juga menunggu keputusan oleh Rizab Persekutuan AS pada akhir bulan ini sama ada ia akan mengurangkan kadar faedahnya,” katanya.

Mengenai pasaran minyak, beliau berkata ketegangan yang meningkat di Timur Tengah mendorong penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat dua peratus kepada AS$63.78 (RM262.23) setong pada pukul 6 petang hari ini.

“Bagaimanapun, ketegangan itu akan turut menjejaskan kestabilan pasaran global kerana ketidaktentuan di rantau tersebut,” katanya.

Semasa penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0219/0253 daripada 3.0236/0269 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8104/8151 daripada 3.8165/8207.

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.1248/1306 daripada 5.1474/1519 sebelumnya dan naik berbanding euro kepada 4.6109/6166 daripada 4.6184/6234. - BERNAMA