Pada pukul 9.06 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.1340/1390 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1350 pada paras penutup Selasa.

Seorang peniaga berkata, para pedagang mengambil pendirian berhati-hati dalam memegang mata wang negara sedang pesat membangun Asia memandangkan pasaran menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar suku pertama China perlahan kepada 6.3 peratus.

“Selain itu, ketidakpastian terhadap rundingan perdagangan AS-China susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang menyatakan negara itu akan muncul sebagai pemenang daripada pertikaian perdagangan turut menjejaskan permintaan terhadap ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0502/0557 daripada 3.0485/0526 dan turun berbanding euro kepada 4.6648/6717 daripada 4.6639/6688.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6871/6919 daripada 3.6923/6963 dan naik berbanding pound British kepada 5.3907/3981 daripada 5.4033/4102. - BERNAMA