Menerusi rangkaian restoran popular mereka iaitu QBistro, restoran yang terletak di Persiaran Gurney di sini itu dibuka secara rasmi hari ini dengan pelancarannya disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lebih menarik, orang ramai boleh menikmati diskaun 10 peratus bagi semua jenis hi­dangan di restoran berkenaan sehingga 5 Mei ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hajris Holdings, Riyasudin Mohamed Dufkif, pembukaan restoran QBistro di Pulau Pinang itu merupakan satu lonjakan besar kepada syarikat tersebut memandangkan ia satu-satunya rangkaian restoran berkenaan yang dibuka di luar Lembah Klang.

Katanya, pemilihan negeri ini sebagai lokasi rangkaian Restoran QBistro ke-14 juga berdasarkan konsep makanan yang ditawarkan syarikat berkenaan yang selari dengan permintaan pelanggan setempat khususnya makanan tradisi nasi kandar.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya juga mahu memper­kenalkan keistimewaan dan ke­lebihan perkhidmatan makanan yang ditawarkan syarikat tersebut kepada masyarakat setempat sekali gus mengukuhkan jenama rangkaian QBistro di seluruh negara.

“Selain menu utama nasi kandar, QBistro di Persiaran Gurney ini juga menawarkan pelbagai pilihan menu menarik lain termasuk masakan Melayu, barat dan Thailand.

“Lokasi ini juga sangat strategik dengan tempat kereta sehingga 40 lot sekali gus memudahkan pengunjung untuk ke restoran kami yang dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 12 malam setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Menurut Riyasudin, pembukaan Restoran QBistro di tapak seluas 557.42 meter persegi di Persiaran Gurney itu membabitkan peruntukan RM1 juta dan dikendalikan 30 pekerja.

Katanya, pembukaan itu juga merupakan outlet rangkaian Restoran QBistro yang pertama daripada empat outlet yang dirancang dibuka sepanjang tahun ini.

Tiga lagi outlet, tambah beliau, adalah di Kota Kemuning, Shah Alam dan Alam Damai, Cheras di Selangor serta di ­Putrajaya dengan kos pelaburan keseluruhan dianggarkan RM5 juta.

Jelasnya, pembukaan Res­toran QBistro di Persiaran Gurney itu juga menepati sasaran pihaknya yang merancang untuk membuka dua buah lagi rangkaian restoran sama di ne­geri ini menjelang tahun depan termasuk di daerah Seberang Perai.

Malah, ujar beliau, pihaknya kini turut membuka peluang kepada mereka yang berminat melabur bersama syarikat itu menerusi konsep perniagaan francais dengan modal permulaan serendah RM350,000 ­sehingga RM1 juta.

“Kita juga akan melancarkan Restoran QBistro pertama de­ngan konsep francais ini di Kota Kemuning pada Jun ini,” katanya.

Bagi tempoh jangka panjang pula, tambah Riyasudin, pihaknya kini merancang untuk membuka rangkaian restoran QBistro di luar negara iaitu di London, United Kingdom (UK); Jakarta, Indonesia dan Singapura serta Australia menjelang 2021.