-

Tertuduh, Datuk Ramesh a/l Rajaratnam, 55, bekas timbalan pengerusi eksekutif Malaysian Merchant Marine Bhd. (MMM), didapati menjual sebanyak 10,200,800 saham MMM
ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan cadangan pengurangan penarafan kredit oleh Malaysia Rating Corporation Bhd. (MARC) bagi
Sekuriti Hutang Islam Al-Bai Bithaman Ajil, yang telah diumumkan kepada orang awam oleh MARC pada 4 Februari 2010.


Ramesh juga didapati memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan klasifikasi MMM sebagai syarikat PN17. Pelupusan saham MMM telah dibuat pada 11 Januari 2010, 19 Februari 2010 dan 22 Februari 2010.


Dagangan orang dalam merupakan kesalahan di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.


Hakim Tuan Azman Ahmad menyabitkan kesalahan Ramesh atas semua pertuduhan pada pagi ini tetapi telah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan daripada Ramesh.


Hakim bagaimanapun memerintahkan denda sebanyak RM9 juta dibayar pada hari ini, atau sekiranya gagal, Ramesh akan dikenakan hukuman penjara selama sembilan tahun. - UTUSAN ONLINE