Pengarah Urusannya, Paul Yap Ban Foo berkata, syarikat itu akan menggunakan hasil RM10.6 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) tahun lepas untuk mengembangkan sayapnya ke Indonesia, Myanmar dan Thailand tahun depan.

“Pada masa ini kami mempunyai operasi di Kemboja dan Vietnam,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Ketika ini portfolio luar negara syarikat itu menyumbang kira-kira 10 peratus daripada hasilnya manakala bakinya adalah daripada operasi domestik.

“Dengan pengambilalihan Adaptive POS Sdn. Bhd. dan Infoconnect Commerce Sdn. Bhd. baru-baru ini, kami berjaya memperoleh tempat jualan (POS) bagi Jollibean Foods Pte. Ltd.

“Kami juga melancarkan sepenuhnya peralatan POS menyeluruh dan aplikasi berasaskan awan serta perkhidmatan runcit mudah alih ke semua 26 cawangan di Singapura,” katanya.

Mengenai laporan suku tahunan pertamanya susulan penyenaraian di Pasaran ACE, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM569,000 dengan jumlah hasil RM13.82 juta.

Ban Foo berkata, beliau yakin syarikat itu akan mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam suku akan datang kerana semuanya kini telah selesai termasuk pengambilalihan utama.

Ketika ini, syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada antara lainnya 99 Speedmart, Watsons, Guardian, Cold Storage, Parkson dan Aeon Big. - BERNAMA