Kompleks membeli-belah bersepadu moden yang berkonsepkan mesra keluarga terletak di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 18 di sini, merupakan cawangan pertama dibuka di Malaysia Timur.

Pengarah Eksekutif AEON, Poh Ying Loo berkata, pusat beli-belah yang mempunyai 130 kedai itu akan memulakan operasi bermula pukul 10 pagi pada hari berkenaan.

“Ini (AEON Kuching) merupakan cawangan pertama kami di kepulauan Borneo dan kami teruja untuk menerima kehadi­ran pe­ngunjung pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas membawa rombongan media me­ngadakan lawatan eksklusif me­nin­jau pusat beli-belah itu hari ini.

Menurutnya, pusat beli-belah yang mempunyai keluasan kira-kira 52,025 meter persegi itu bakal memberi pengalaman membeli-belah berbeza kepada pelanggan kerana konsep mesra keluarga yang disediakan di situ.

Beliau berkata, AEON Kuching akan menempatkan satu tingkat bagi pasar raya AEON, dua tingkat kedai serbaneka yang menjual produk kesihatan jenama baharu AEON serta rangkaian kedai lain seperti Ubiso, Kaison, SenQ, Po­pular, Supersave Elite dan Daiso.

Selain itu, AEON Kuching juga dilengkapi dengan kemudahan hiburan seperti panggung wayang (MBO), lounge karaoke (K11), gimnasium (Level Up), tempat permainan kanak-kanak (Mollyfantasy) serta medan selera dan minuman.

“Pengunjung yang datang juga tidak perlu bimbang tentang tempat untuk meletakkan kenderaan kerana terdapat 1,800 ruang parkir lima tingkat dan satu parkir di bawah tanah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya yakin AEON Ku­ching mempunyai prospek cerah dan berpotensi untuk mendapat perkongsian pasaran mampan menerusi model membeli-belah di bawah satu bumbung dan sasaran keluarga berpendapatan sederhana.

Beliau berkata, sebagai kedai barangan am, AEON Kuching menawarkan barangan peruncitan yang baharu dan lebih baik kepada pelanggan seperti barangan penggunaan harian, makanan, kesihatan, produk kecantikan, pakaian dan pelbagai lagi barangan lain.

Mengenai harga barangan yang ditawarkan, beliau mengakui akan timbul isu kos logistik yang tinggi tetapi AEON akan berusaha untuk menawarkan harga sama dengan Semenanjung kepada pengguna tempatan.

“Paling utama, AEON Kuching akan berkongsi dengan rakan di Semenanjung untuk mendapatkan mata tebusan, ganjaran dan tawaran eksklusif sebagai ahli AEON,” ujarnya.