Kejayaan penting itu dicapai baru-baru ini apabila kapal Monaco Maersk berlepas dari pelabuhan dengan rekod muatan sebanyak 19,284 TEU mengatasi rekod muatan 19,190 TEU dicatatkan kapal MOL Tribune pada Februari tahun ini.

PTP mencatatkan kadar keseluruhan muatan barangan sebanyak 9 juta TEU pada 2018 dan diunjurkan akan mengendalikan kadar muatan keseluruhan yang disasarkan sebanyak 9.5 juta TEU pada tahun ini.

Pengerusi PTP dan Pengarah Urusan kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian terkini itu membuktikan komitmen PTP untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kelas itu kepada pelanggannya.

“Kami akan memantapkan lagi asas kami dan terus mengoptimumkan kos untuk meningkatkan kecekapan operasi pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pelbagai pelaburan berterusan dan penambahbaikan aktiviti telah dijalankan dengan jayanya dan sedang dilaksanakan untuk memastikan pengendali pelabuhan itu mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk tahun kewangan ini.

“Apa yang lebih penting adalah untuk memastikan kedudukan PTP sebagai antara hab pemindahan kargo antara kapal terbaik di dunia,” katanya. - BERNAMA