Jualan Ogos mengatasi jualan pada Julai sebanyak 11.7 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, berkata jualan yang kukuh juga disumbangkan oleh kempen pemasaran agresif syarikat itu, cabang jualan Proton, yang me­minta rakyat Malaysia supaya memanfaatkan sifar cukai itu yang merupakan peluang sekali sahaja dalam hidup mereka.

“Jumlah jualan yang kukuh ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama itu dengan lebih ramai memilih Proton berdasarkan pakej keseluruhannya yang menarik,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, seperti tujuh bulan sebelumnya, Saga terus meneraju jualan dengan 4,174 pendaftaran pada Ogos, diikuti Persona (2,957 pendaftaran).

Model lain turut mendapat permintaan kukuh, didorong oleh pembeli yang mahukan kereta baharu sebelum akhir bulan.

Abdul Rashid berkata, sejajar dengan kenaikan jumlah jualan, Proton dianggarkan menyumbang 15.4 peratus daripada jumlah keluaran (TIV) pada Ogos.

“Pelan pemulihan kami berada pada kedudukan yang tepat, dan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pelanggan baharu ini kekal dengan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, Proton akan menyerap caj SST untuk semua model pada bulan September, memastikan pembeli masih boleh mendapat manfaat daripada harga bebas cukai.

“Ini akan memberi manfaat kepada mereka (pembeli) semasa tempoh peralihan ini dan membantu Proton mengekalkan momentum jualannya,” katanya.

Selain menyerap SST untuk semua model pada bulan September, Proton juga akan meraikan Hari Merdeka dan Hari Malaysia wdengan menawarkan diskaun antara RM500 dan RM1,000 bagi Saga, Iriz dan Persona.

“Proton Ertiga Xtra yang baru dilancarkan, dengan pelapik ke­rusi baharu dan unit kepala skrin sentuh baharu, akan ditawarkan pada harga RM2,000 kurang daripada harga senarai,” kata­nya. – BERNAMA