Inilah yang diucapkan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim kepada Bernama dalam temu bual di sini, baru-baru.

Misi beliau, dengan menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China dalam bulan ini, adalah untuk menyakinkan China supaya meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia bagi pembuatan produk makanan.

Selain itu, beliau mahu menarik pelabur negara itu ke Malaysia bagi tujuan mewujudkan perniagaan berkaitan minyak sawit.

Tahun lepas, China mengimport 1.92 juta tan minyak sawit dari Malaysia - pengeluar kedua terbesar selepas Indonesia - di belakang India yang mengimport 2.03 juta tan dan Kesatuan Eropah (EU) (1.99 juta tan).

Secara terkumpul, ketiga-tiga negara itu menyumbang hampir 36 peratus kepada eksport minyak sawit keseluruhan Malaysia pada 2017 iaitu sebanyak 16.559 juta tan bernilai RM50 bilion.

Merujuk perangkaan yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, eksport keseluruhan produk minyak sawit Malaysia tahun lepas adalah 23.974 juta tan bernilai RM74.738 bilion berbanding 23.294 juta tan pada 2016 bernilai RM64.591 bilion.

Teresa bersungguh-sungguh mempelawa pelabur China untuk menyertai pembuatan produk berasaskan minyak sawit di Malaysia secara aktif dan kemudian mengeksportnya ke China.

"Sebelum lawatan itu bulan ini, sebenarnya saya telah pergi ke China untuk lawatan peribadi dan bertemu beberapa wakil dari syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan di sana," katanya, dengan menambah, beliau mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelabur yang menunjukkan minat untuk mewujudkan perniagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau bimbang kemungkinan timbul masalah kekurangan bekalan minyak makan itu daripada industri khususnya sektor pekebun kecil.

"Kadangkala masalah kita adalah kuantiti yang kita bekal tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan syarikat besar, bagaimanapun jika kita mampu menyelesaikan masalah ini, harga minyak sawit pada separuh kedua 2018 boleh meningkat secara ketara," katanya.

Harga fizikal bagi minyak sawit mentah setakat 3 Ogos berada pada RM2,190 satu tan.

Setakat akhir Jun 2018, inventori minyak sawit Malaysia meningkat 43 peratus kepada 2.19 juta tan daripada tempoh yang sama 2017 manakala eksport kekal pada 1.13 juta tan.

Teresa turut menjelaskan bukan sahaja penting untuk mendapatkan pelabur China ke Malaysia malah perlu membuat susulan secara konsisten mengenai usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

"Ini yang kita tumpukan buat masa ini. Kementerian berusaha untuk beberapa Memorandum Persefahaman dan kita berharap beberapa perjanjian dapat dimeterai semasa lawatan rasmi itu nanti.

"Sekiranya kita boleh menyakinkan mereka semasa misi perdagangan akan datang, prospek pada separuh kedua 2018 bukan hanya baik malah Malaysia dapat meningkatkan eksport minyak sawit ke China," katanya.

Beliau berkata, selain republik itu, kementerian turut menyasarkan negara lain termasuk benua Afrika, Filipina, Iran dan India.

Ketika ditanya mengenai kempen EU yang memburuk-burukkan biodiesel berasaskan sawit Malaysia, Teresa berkata perkara itu dibangkitkan semasa lawatannya ke EU pada Oktober ini.

Tanpa memberi butiran terperinci, anggota Parlimen Seputeh itu berkata di bawah kepimpinannya, kementerian akan berusaha sebaik mungkin dalam memanfaatkan platform media sosial untuk menyebarluaskan "kecintaan terhadap minyak sawit".

"Saya masih ingat, kempen ini bukan sesuatu yang baharu...mendiang Menteri Perladangan Industri dan Komoditi Tun Dr. Lim Keng Yaik juga menghadapi cabaran yang sama, dan beliau kerap membidas EU yang menyebarkan fakta yang tidak benar sepenuhnya mengenai minyak sawit dan industri perkayuan Malaysia," katanya.

Kempen anti-sawit dilancarkan terhadap minyak sawit Malaysia buat kali pertama oleh peladang kacang soya Amerika Syarikat (AS) pada 1986 kerana mereka mengalami masa depan yang suram memandangkan minyak sawit, pengganti terdekat bagi minyak kacang soya, telah mendominasi pasaran minyak makan negara itu secara pantas.

Minyak sawit Malaysia yang kaya dengan nilai nutrisi telah dijual pada harga lebih rendah berbanding minyak kacang soya di pasaran AS, yang mana realiti itu telah mengecewakan Keng Yaik.

Sebaliknya, pada masa yang sama industri pembuatan makanan, konfeksi dan sabun negara itu mendapati ia lebih murah dan berpandangan penggunaan minyak sawit Malaysia adalah lebih baik bagi produk mereka untuk meningkatkan rasa dan kualiti.

Teresa berkata, syarikat pengeluar kacang soya di EU membelanjakan US$600 juta tahun lepas untuk melancarkan kempen anti-minyak sawit namun Malaysia hanya memperuntukkan RM2 juta "untuk menguar-uarkan kebenaran mengenai minyak sawit".

Beliau berkata, dalam menangani isu ini, seluruh rakyat Malaysia, perlu bersama-sama pihak berkuasa berkaitan menentang sekatan terhadap penggunaan minyak sawit di EU.

Pada masa sama, kerajaan, katanya akan mendorong pekebun kecil mematuhi piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan menjadikannya mandatori untuk mereka mematuhi keperluan berkenaan menjelang 31 Disember 2019.-BERNAMA